Beri peluang kepada pucuk pimpinan, Tok Mat beritahu ahli Umno

Beri peluang kepada pucuk pimpinan, Tok Mat beritahu ahli Umno

Timbalan presiden Umno berkata kemandirian parti itu merupakan satu keutamaan ketika ini dalam memastikan Umno dapat memulakan langkah terbaik bagi menghadapi PRU16.

Mohamad Hasan berkata beliau dan rakan Umno lain akan memikul tanggungjawab sebaiknya dengan mengambil kira pengalaman PRU15 dan PRU14.
KUALA LUMPUR:
Semua ahli Umno diminta memberi peluang dan ruang kepada pucuk pimpinan untuk menerokai dinamik politik semasa negara bagi memastikan kelangsungan parti itu.

Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan, berkata kemandirian parti itu merupakan satu keutamaan ketika ini dalam memastikan Umno dapat memulakan langkah terbaik bagi menghadapi PRU16 kelak.

“Jadi beri peluang untuk parti mengurus, mengorak langkah perlahan-lahan. Kita kalah, kita bukan pemenang tetapi disebabkan oleh kita diberi oleh Allah sedikit ruang lagi untuk dapat bersama kerajaan walaupun kita hanya 30 kerusi (jumlah kerusi Barisan Nasional).

“Jadi beri kami peluang kerana parti-parti lain dalam negara ini semua sudah pernah duduk bersama, cuma kita sahaja belum pernah duduk bersama dan kita lihat bagaimana,” katanya dalam ucapan penangguhan pada Perhimpunan Agung Umno 2022 di Pusat Dagangan Dunia (WTC).

Mohamad yang juga menteri pertahanan berkata walaupun bersama dalam kerajaan perpaduan ia tidak bermakna Umno bergabung dengan parti lain dalam kerajaan yang dibentuk.

Katanya, kerjasama dalam kerajaan itu adalah untuk mengurus negara dan beliau selaku anggota Kabinet daripada Umno akan cuba sedaya upaya memastikan prestasi Kerajaan Perpaduan dipertingkatkan demi rakyat.

Selaku pengarah pilihan raya bagi menghadapi enam pilihan raya negeri akan datang, Mohamad berkata beliau dan rakan Umno lain akan memikul tanggungjawab sebaiknya dengan mengambil kira pengalaman PRU15 dan PRU14.

“Saya minta satu sahaja untuk tuan dan puan balik ke kawasan kita masing-masing, bina semula tembok kita yang pecah. Mari kita pungut batu bata yang bersepah, yang berderai untuk kita bina semula benteng Umno dan bangunkan benteng baru pada PRU16 nanti,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.