
Bagaimanapun, Salim Bashir berkata peguam negara hanya akan menerima permintaan sedemikian dalam kes jarang berlaku dan luar biasa.
“Peguam negara pernah membenarkan representasi sedemikian, jadi ini tidak sepatutnya menimbulkan kemarahan orang ramai.”
Beliau berkata, pada 11 Mac 2019, Mahkamah Tinggi Shah Alam membebaskan seorang wanita Indonesia yang dituduh membunuh Kim Jong-nam, abang tiri pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un.
Katanya, pendakwaan menarik balik pertuduhan membunuh terhadap Siti Aisyah selepas dipanggil membela diri.
Ketika itu, katanya, pendakwaan tidak mendedahkan di mahkamah terbuka alasan tidak meneruskan kes itu.
Warga Vietnam, Doan Thi Huong yang dituduh bersamanya pula dikurangkan pertuduhan kepada menyebabkan kecederaan secara sukarela dengan senjata berbahaya, iaitu agen saraf VX.
Dia dihukum penjara 40 bulan pada April 2019, tetapi pulang ke negara asal selepas hukuman itu diumumkan kerana dia direman sejak Februari 2017.
Salim, yang mewakili Doan, berkata dalam kedua-dua kes itu, peguam negara menerima representasi yang dikemukakan.
Beliau mengulas laporan Isnin lalu berhubung peguam Ahmad Zahid Hamidi memohon Hakim Collin Lawrence Sequerah menangguhkan perbicaraan rasuah dihadapi timbalan perdana menteri itu untuk peguam negara menyemak representasi pihak pembelaan.
Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Malik Ayob juga memberitahu hakim perbicaraan bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menjalankan siasatan lanjut terhadap kes Zahid.
Pembelaan memanggil enam saksi setakat ini, tetapi perbicaraan terhenti sejak November lalu.
Zahid didakwa atas 47 pertuduhan pengubahan wang dan pecah amanah membabitkan jutaan ringgit daripada Yayasan Akalbudi dan menerima rasuah untuk pelbagai projek sepanjang menjadi menteri dalam negeri antara 2013 hingga 2018.
Bekas peguam negara, Abu Talib Othman berkata penangguhan lanjut akan memberi gambaran buruk kepada peguam negara kerana pendakwaan sudah membuktikan kes prima facie terhadap Zahid.
Tetapi, Salim berkata, peguam negara mempunyai kuasa di bawah Perkara 145(3) dan Seksyen 376 Kanun Tatacara Jenayah untuk menggugur atau mengurangkan pertuduhan di mana-mana peringkat perbicaraan.
“Tetapi, ia mesti disertakan alasan baik.”
Peguam, A Srimurugan berkata beliau terlibat dalam kes di mana peguam negara menarik balik pertuduhan terhadap anak guamnya selepas alasan munasabah diberikan dan diarahkan membela diri.
“Sekali lagi, saya mesti tegaskan, ia berlaku dalam kes jarang berlaku.”
Katanya, penolakan pendakwaan terhadap representasi juga bermakna mereka mahu pihak pembelaan menggunakan bukti terbaik yang ada untuk mendapatkan pembebasan anak guam mereka di mahkamah.
“Ini juga memberi peluang kepada pendakwaan menyoal balas saksi pembelaan bagi membolehkan mahkamah menentukan kesahihan keterangan.”
Srimurugan mencadangkan pindaan undang-undang untuk menghapuskan kuasa budi bicara kepada peguam negara menarik balik pertuduhan apabila perbicaraan mencapai peringkat lanjut.
Katanya, ini akan menjadikan peguam negara bertanggungjawab terhadap proses membuat keputusannya.
“Pendakwaan tidak patut membazir masa dan sumber kehakiman berharga – terutama selepas perbicaraan panjang – dengan menarik balik kes tanpa memberi alasan wajar kepada mahkamah dan orang ramai.”