
Azmi Hassan dari Akademi Nusantara mempertikaikan pandangan Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hassan bahawa Umno hanya “menumpang kasih” dalam kerajaan.
Mohamad dilaporkan berkata, ia tidak akan memberi sebarang kesan jika Umno menarik sokongannya terhadap kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim, tetapi Azmi tidak setuju dengannya.
“Parti lain dalam kerajaan yang berada di bawah rahmat Umno. Jika Umno meninggalkan gabungan itu, Perikatan Nasional (PN) akan memanfaatkan keretakan itu dengan cuba meyakinkan Umno menyertai mereka.
“Walaupun ia belum cukup (untuk membentuk kerajaan) sendiri, Gabungan Parti Sarawak dan Gabungan Rakyat Sabah mungkin turut menyertai gabungan Umno-PN,” katanya kepada FMT.
Kerajaan perpaduan mempunyai 148 kerusi di Dewan Rakyat, membentuk majoriti 2/3. Pakatan Harapan (PH) mempunyai 82 kerusi, manakala Umno dengan 26 kerusi.
Azmi berkata, pengaruh Umno penting dalam kerajaan. Pada PRN, PH memerlukan Umno untuk menarik undi Melayu dan menentang serangan “gelombang hijau” PRU 2022, ketika PAS yang menganggotai PN memenangi 49 kerusi, paling banyak antara parti lain.
James Chin dari Universiti Tasmania berkata, meraih sokongan pengundi Melayu penting untuk mempertahankan majoriti rapuh Anwar kerana jika PAS menang banyak kerusi sekali lagi, keyakinan terhadap Anwar akan berkurangan dan menjejaskan harapannya untuk bertahan sehingga tamat penggal.
“Tetapi, ini bergantung kepada PRN. Jika PH dan Umno boleh memenangi sokongan orang Melayu, ia akan menjadi lebih stabil.”
Katanya, Mohamad sekadar mengingatkan ahli Umno untuk bersikap realistik dalam membuat tuntutan, khasnya apabila ramai dalam Umno yang sudah biasa berbuat demikian.