Isu 3R tak selamanya laku di Selangor, PN perlu bawa isu pembangunan

Isu 3R tak selamanya laku di Selangor, PN perlu bawa isu pembangunan

Wan Fayhsal berkata Selangor akan ‘memaksa’ PN membawa isu pembangunan bagi meraih undi bukan Melayu.

Menurut Wan Ahmad Fayhsal PN dalam fasa penstrukturan semula naratif yang lebih menyeluruh untuk rakyat Malaysia.
PETALING JAYA:
Isu bangsa, agama dan Raja-raja atau 3R dilihat tidak selamanya ‘laku’ terutamanya ketika menghadapi PRN di Selangor, kata Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Wan Ahmad Fayhsal, berkata PN kini dalam fasa penstrukturan semula naratif yang dilihat lebih menyeluruh untuk rakyat Malaysia.

“Kita dah maklum PN diterima orang Melayu kerana pendirian kami dalam isu 3R tapi kami pun setuju, kelemahan kami mengetengahkan isu lebih kepada pembangunan.

“Jadi perkara ini kena ada anjakan dalam kempen kami dan saya rasa Selangor akan membuka ruang tersebut,” katanya dalam episod terbaru podcast ‘Keluar Sekejap’.

Ahli Parlimen Machang itu berkata demikian ketika ditanya tindakan PN yang dilihat menggunakan isu 3R di pentas politik seolah-olah memainkan perang budaya, dan tidak menyentuh isu pembangunan rakyat.

Wan Fayhsal turut menolak andaian itu, sebaliknya berkata, pimpinan PN ada juga membawa isu rakyat di Dewan Rakyat.

“Dalam perbahasan Belanjawan Titah Diraja, pembangkang banyak bawa idea bernas contohnya tenaga hijau.

“Saya sendiri bawa isu pelaburan keluar dan pembangunan mampan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.