Masih tak tahu punca digantung, Hishammuddin pertikai keikhlasan undangan Zahid

Masih tak tahu punca digantung, Hishammuddin pertikai keikhlasan undangan Zahid

Bekas naib presiden Umno itu mendakwa tidak pernah dipanggil jawatankuasa disiplin untuk siasatan.

Selain Hishammuddin Hussein turut digantung Tajuddin Abdul Rahman dan Shahril Hamdan manakala Khairy Jamaluddin pula dipecat.
PETALING JAYA:
Bekas naib presiden Umno Hishammuddin Hussein mempersoalkan punca penggantungan keahliannya selama enam tahun yang tidak diketahui sehingga kini.

Sehubungan itu, bekas menteri pertahanan itu mempertikai keikhlasan undangan Presiden Umno Zahid Hamidi supaya ahli dipecat dan digantung termasuk dirinya menyertai semula parti terbabit.

“Yang saya tahu, dia kata kita kena mohon diterima semula. Kedua, kena bawa ke jawatankuasa disiplin tetapi bagi saya, sampai hari ini saya tak tahu sebab digantung.

“Masa saya digantung dulu, jawatankuasa disiplin tak pernah panggil untuk siasatan dan untuk jawab. Jadi saya pun tak tahu sama ada yang diluahkan baru-baru ini ikhlas atau tak,” katanya menurut Berita Harian ketika ditemui di Parlimen.

Pada Perhimpunan Agung Umno minggu lalu, Zahid menegaskan parti sentiasa terbuka menerima ahli yang dikenakan tindakan disiplin termasuk mereka yang digantung atau dipecat.

Selain Hishammuddin, turut digantung bekas pengarah pilihan raya Umno Tajuddin Abdul Rahman, bekas ketua penerangan Shahril Hamdan, bekas Ahli Parlimen Jempol Salim Sharif dan pemimpin Umno Tebrau Maulizan Bujang.

Umno turut memecat bekas ketua Pemuda Khairy Jamaluddin dan bekas ketua Umno Selangor Noh Omar atas pelanggaran disiplin mengikut perlembagaan parti kerana kesalahan ketika PRU15.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.