
Beliau, dalam kenyataan berkata pemakluman kekosongan luar jangka bagi kerusi Parlimen berkenaan diberitahu menerusi surat bertarikh 13 Julai daripada Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Abdul Ghani Salleh.
Menurut Johari, pemberitahuan itu selaras dengan Perkara 54(1) Perlembagaan Persekutuan berikutan keputusan mahkamah membatalkan keputusan PRU15 bagi kawasan Parlimen Kuala Terengganu.
Katanya, kekosongan kerusi Parlimen itu berikutan penyandangnya Ahmad Amzad Mohamed @ Hashim daripada PAS tidak mengemukakan rayuan yang berakhir pada Selasa lalu selaras dengan Seksyen 36A Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
Johari berkata pemakluman berkenaan dibuat susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Kuala Terengganu pada 27 Jun lalu yang mengisytiharkan (keputusan) pilihan raya umum bagi kawasan Parlimen Kuala Terengganu pada 19 Nov 2022 adalah terbatal.
Katanya, SPR akan mengadakan satu pilihan raya bagi mengisi kekosongan tersebut dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan berkenaan.
Petisyen pilihan raya difailkan calon Barisan Nasional (BN) di kerusi Parlimen itu, Mohd Zubir Embong pada 3 Jan lalu dan berjaya membuktikan wujudnya unsur rasuah ketika kempen PRU15.
Pada PRU15 lalu, Amzad memenangi kerusi Parlimen Kuala Terengganu dengan memperoleh majoriti 40,907 undi selepas menewaskan tiga pencabar lain termasuk Zubir.