Masjid bukan gelanggang politik, kata menteri agama

Masjid bukan gelanggang politik, kata menteri agama

Kenyataan Mohd Na'im Mokhtar itu menyusul usaha pihak tertentu mengadakan perhimpunan bermula di Masjid Jamek Kampung Baru esok.

Mohd Na’im Mokhtar berkata keadaan tegang dalam masyarakat akan timbul jika rumah ibadat dilibatkan dalam kancah politik. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar hari ini menyeru agar institusi masjid dan surau tidak dijadikan gelanggang pertelagahan politik.

Beliau berkata apabila masjid dan surau dilibatkan dengan kancah politik kepartian, ia akan menimbulkan ketegangan dalam masyarakat selain mencemarkan institusi itu sebagai zon bebas.

“Saya menzahirkan rasa bimbang terhadap kecenderungan pihak-pihak tertentu yang menjadikan masjid dan surau sebagai platform awal untuk berhimpun yang tentunya boleh mengganggu-gugat fungsi masjid sebagai pusat penyatuan umat Islam,” menurutnya dalam kenyataan hari ini susulan usaha pihak tertentu mengadakan perhimpunan di ibu negara.

Media melaporkan ‘Himpunan Aman Selamatkan Malaysia,’ yang dijadualkan esok, akan bermula dari Masjid Jamek Kampung Baru di Kuala Lumpur.

“Semua pihak dimohon supaya akur serta menghormati titah Tuanku-Tuanku Sultan agar tidak menyalahgunakan masjid dan surau untuk aktiviti berbentuk politik kepartian,” katanya.

Mohd Na’im juga berkata Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan telah diarah memantau masjid dan surau selain mengambil tindakan berpandukan lunas undang-undang sekiranya ada mana-mana pihak melanggar peraturan serta undang-undang yang sedang berkuat kuasa.

Beliau berkata pihaknya berharap semua pihak menghormati agensi berautoriti demi menjaga kemuliaan institusi masjid dan surau serta menjamin kesejahteraan negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.