Fahmi setuju cadangan rombak J-Kom

Fahmi setuju cadangan rombak J-Kom

Terdahulu, Ahli MKT Umno, Puad Zarkashi menyarankan J-Kom dirombak selepas mendakwa kewujudan komplot 'Langkah Dubai'.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil mengesahkan fungsi tugas J-Kom perlu ‘penyesuaian’.
PUTRAJAYA:
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil bersetuju dengan saranan pemimpin Umno, Puad Zarkashi, supaya Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) dirombak, selepas mendakwa kewujudan komplot ‘Langkah Dubai’.

Beliau bagaimanapun berkata masih terlalu awal untuk mengumumkan sebarang perubahan, namun mengesahkan fungsi tugas J-Kom perlu ‘penyesuaian’.

“Memang kita lihat perlu ada penyesuaian beberapa fungsi tugas selaras dengan hasrat kerajaan untuk dilaksanakan agensi termasuk J-Kom.

“Saya boleh sedikit sebanyak setuju dengan pandangan itu (rombak J-Kom),” katanya pada sidang media.

J-Kom yang sebelum ini berada di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) diletakkan bawah Kementerian Komunikasi mulai 13 Dis.

Minggu lalu, Timbalan Ketua Pengarah J-Kom, Ismail Yusop mendakwa wujud “Langkah Dubai” ketika percutian pemimpin Perikatan Nasional (PN) di Emiriah Arab Bersatu (UAE) baru-baru ini.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Puad Zarkashi bagaimanapun menyifatkan dakwaan Ismail “cetek” dan menyebabkan kerajaan menjadi defensif, susulan beberapa nama dalam kerajaan disebut-sebut terbabit dalam gerakan itu.

Sebelum ini, Ismail dilaporkan mendakwa gerakan menumbangkan kerajaan perpaduan di Dubai turut membabitkan tokoh politik veteran berpengaruh yang bergelar Tun menggunakan dana asing.

Pertemuan itu didakwa bertujuan membahagikan tugas kepada “ejen” untuk mengenal pasti Ahli Parlimen yang boleh menukar sokongan kepada pembangkang bagi membentuk kerajaan baharu.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi dilaporkan tahu mengenai “Langkah Dubai” sebelum individu terbabit mendarat di bandar raya itu, tanpa menamakan individu berkenaan.

Kelmarin, Ahli Parlimen Lipis, Abdul Rahman Mohamad membuat laporan polis berhubung tuduhan beliau bersubahat dengan pembangkang dalam usaha menjatuhkan kerajaan.

Timbalan menteri sumber manusia itu berkata, tuduhan jahat beliau terlibat “Langkah Dubai” sengaja direka untuk menimbulkan polemik dan mencetuskan kegelisahan rakyat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.