Kerjasama PH-BN perlu diteruskan di Perak pada PRU16

Kerjasama PH-BN perlu diteruskan di Perak pada PRU16

Presiden Umno Zahid Hamidi berharap PH kekal bekerjasama dengan BN walaupun berlaku perbezaan ketara jumlah kerusi dimenangi pada PRU15.

Zahid Hamdi berkata, PH-BN mampu menjadi sebuah kerajaan lagi pada PRU16. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Zahid Hamidi melihat peluang terus menguasai Perak pada PRU16 lebih cerah jika Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) mengekalkan kerjasama.

Pengerusi BN berkata, keikhlasan PH terbukti apabila jawatan menteri besar diserahkan kepada Umno meskipun BN hanya menang sembilan kerusi, berbanding PH 24 kerusi, pada PRU15.

“Harapan saya biarpun ketika ini PH mempunyai 24 kerusi dan BN sembilan kerusi, janganlah tinggalkan kami.

“Di bawah kepimpinan menteri besar dan didokong semangat perpaduan yang kita lihat hari ini, saya yakin kita boleh bawa lebih dari sembilan kerusi itu (PRU16),” katanya menurut Sinar Harian.

Beliau berkata, keikhlasan ditunjukkan sebelum ini telah membuktikan BN dan PH mampu mengikat kerjasama sebagai kerajaan perpaduan bukan sahaja di peringkat negeri, malah di peringkat Pusat.

Zahid yang juga presiden Umno, berkata keikhlasan itu harus diikuti dengan perundingan telus bagi mengelak berlakunya perebutan jawatan dalam kalangan pemimpin parti.

“Kita adik-beradik jadi berunding elok-elok. Insya-Allah, Datuk Seri Saarani Mohamad (pengerusi BN Perak) akan mempertahankan kerajaan perpaduan ini di Perak,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.