Genap sebulan Pastor Koh diculik

Genap sebulan Pastor Koh diculik

Isteri mangsa berharap penahanan seorang suspek pada minggu lalu tidak akan menghalang pemberi maklumat tulen daripada menghubungi mereka.

Susanna-Liew-Sow-Yoke
PETALING JAYA: Hari ini genap sebulan Pastor Raymond Koh Keng Joo diculik dan keluarganya berharap penahanan seorang suspek pada Khamis lalu tidak akan mengalihkan tumpuan daripada penculik sebenar atau mengelakkan pemberi maklumat tulen mendekati mereka.

Isteri mangsa, Susanna Liew Sow Yoke dalam satu kenyataan hari ini berkata, seorang lelaki Cina berusia 32 tahun ditahan di Ampang minggu lalu berdasarkan maklumat yang diberikan anaknya pada 8 Mac lalu.

“Beberapa mesej teks dihantar ke nombor telefon bimbit anak saya, Jonathan yang kelihatan mencurigakan dan melampau. Pada Rabu, 8 Mac, Jonathan memaklumkan polis mengenai mesej ini, yang bertindak cepat mengenainya sehingga membawa kepada penangkapan itu.”

Koh, 62, diculik sekumpulan lelaki bertopeng di Jalan SS4B/10, kurang 100m dari Kompleks Perumahan Polis di Kelana Jaya pada 13 Februari lalu. Mangsa memandu kereta Honda Accord berwarna perak dengan nombor pendaftaran ST 5515 D.

Ketika kejadian, mangsa dalam perjalanan ke rumah rakannya di Kelana Jaya. Insiden itu dirakam CCTV yang menunjukkan ia dirancang rapi membabitkan lebih 10 lelaki dan 7 kenderaan pada waktu siang.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menolak dakwaan sesetengah pihak mengenai penglibatan pasukan khas polis dalam penculikan Koh, sebaliknya mencadangkan 3 motif penculikan, iaitu isu peribadi, penglibatan pelampau dan wang tebusan.

Liew berkata, ganjaran RM100,000 masih ditawarkan untuk maklumat yang boleh membawa kepada penemuan aktivis Kristian itu dan sehingga kini, mereka tidak menerima panggilan untuk bayaran wang tebusan.

Katanya, sejak Koh diculik 13 Februari lalu, beliau dan anaknya berasa sedih, takut, marah dan kecewa kerana tiada penemuan penting dalam usaha mencari suaminya.

Bagaimanapun, katanya, mereka terus menaruh harapan dengan adanya sokongan dan doa daripada rakyat berbilang kaum menerusi majlis menyalakan lilin di beberapa bandar di seluruh negara.

“Saya berterima kasih kepada semua pemimpin yang sudah bersuara. Saya berharap lebih ramai akan tampil menghantar mesej jelas Malaysia tidak bertolak ansur dengan keganasan jenayah terhadap sesiapa sahaja, tanpa mengira kaum, agama, fahaman atau keadaan.

“Untuk rakyat Malaysia, terima kasih atas doa dan sokongan anda. Saya berharap anda terus berdoa untuk suami saya Raymond, supaya kita tidak putus asa dan tidak lupa dengan keharmonian serta amalan saling menghormati satu sama lain.”

Pastor Koh masih hilang, pusat bacaannya terpaksa ditutup

Badan gereja sedunia mahu Najib arah pencarian Pastor Koh digiatkan

Lelaki ditangkap berhubung kes culik Pastor Raymond

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.