Sarawak import makanan lebih RM4 bilion tahun lalu

Sarawak import makanan lebih RM4 bilion tahun lalu

Kementerian merangka beberapa strategi bagi mengurangkan kebergantungan kepada barang makanan import.

abdul-rahman-sarawak
KUCHING: Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak diberitahu nilai import bagi barangan makanan Sarawak sepanjang tahun lepas menjangkau RM4.44 bilion tahun lepas, berbanding RM4.22 bilion pada tahun sebelumnya.

Menteri Muda Pertanian Sarawak Dr Abdul Rahman Ismail berkata pihak kementerian merangka beberapa strategi bagi mengurangkan kebergantungan kepada barang makanan import.

Beliau berkata antaranya adalah dengan meningkatkan pengeluaran makanan melalui program agro makanan seperti program industri padi, buah-buahan dan sayur-sayuran, program pembangunan ternakan dan pembangunan akuakultur serta menggalakkan aktiviti penangkapan ikan khasnya di kawasan laut dalam.

“Strategi lain termasuk menambah bilangan kawasan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) di kawasan tertentu, dan mengeluarkan produk agro makanan secara besar-besaran melalui inisiatif ‘food basket’,” katanya semasa menjawab soalan lisan Miro anak Simuh (BN-Serembu).

Menurutnya bagi pengeluaran beras, Sarawak hanya berada pada tahap 53% sara diri ketika ini dan angka itu disasar meningkat kepada 70% menjelang 2030, manakala tahap sara diri bagi bekalan daging lembu dan kambing adalah 10%, disasar meningkat kepada 50% pada 2030.

“Bagi produk makanan lain seperti buah-buahan dan sayur-sayuran, dasar kerajaan adalah untuk meningkatkan pengeluaran bagi pasaran domestik dan eksport dalam jangka masa panjang,” kata Abdul Rahman.

Sementara itu, Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Len Talif Salleh berkata sehingga 30 April lepas, kerajaan Persekutuan memperuntukkan dana sejumlah RM123.9 juta kepada Jabatan Tanah dan Survei Sarawak bagi membiayai kos melaksanakan program pengukuran Tanah Adat (NCR) Inisiatif Baru.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan Wilson Nyabong anak Ijang (BN-Pelagus) yang ingin tahu jumlah berkenaan, Len Talif berkata secara keseluruhannya RM109.73 juta telahpun dibelanjakan bagi tujuan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.