Diskaun 50% saman polis, JPJ palsu

Diskaun 50% saman polis, JPJ palsu

Orang ramai diminta menyemak kesahihan berita, khasnya mengenai tawaran pengurangan saman melalui saluran media rasmi polis bagi mengelakkan terpedaya.

Polis sedang mengesan individu yang bertanggungjawab menyebarkan berita dan iklan promosi tawaran saman 50% hingga 20 Julai ini. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Polis hari ini mengesahkan iklan promosi tawaran saman hingga 20 Julai yang tersebar melalui aplikasi WhatsApp adalah palsu.

Setiausaha Polis, Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, iklan itu yang mempromosikan tawaran 50% diskaun saman PDRM dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) turut memaparkan nombor individu yang boleh dihubungi bagi mendapatkan diskaun tersebut.

“Siasatan sedang dijalankan bagi mengesan individu yang bertanggungjawab dalam menyebarkan berita dan iklan palsu berkenaan.

“Orang ramai yang menerima iklan promosi tersebut diminta tidak terpengaruh atau berhubung dengan penama yang dinyatakan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya menyemak kesahihan berita, terutama mengenai tawaran pengurangan saman melalui saluran media rasmi PDRM bagi mengelakkan diri menjadi mangsa penipuan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.