Jurutera JKR dituduh terima suapan RM20,000

Jurutera JKR dituduh terima suapan RM20,000

Izwan Mahsuri didakwa menerima RM20,000 berhubung projek penyelenggaraan cerun di Jalan Persekutuan dan Jalan Negeri Semenanjung Malaysia dua tahun lalu.

Izwan Mahsuri sebelum ini didakwa atas lima pertuduhan rasuah melibatkan pelantikan sebuah syarikat subkontraktor bagi projek jalan di Gua Musang, Kelantan. (Gambar Bloomberg)
SHAH ALAM:
Seorang jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan menerima suapan RM20,000 berhubung projek penyelenggaraan cerun di Jalan Persekutuan dan Jalan Negeri Semenanjung Malaysia, dua tahun lalu.

Izwan Mahsuri, 39, jurutera awam Cawangan Kejuruteraan Cerun JKR didakwa menerima untuk dirinya RM20,000 daripada seorang lelaki melalui pindahan wang dalam talian daripada akaun milik Uji Teguh Resources ke akaun milik SBR Consultant yang mana tertuduh mengetahui bahawa lelaki berkenaan mempunyai hubungan dengan kerja rasmi tertuduh.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di Maybank Berhad cawangan Selayang, Gombak pada 14 Dis 2020 mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Hakim Rozilah Salleh membenarkan tertuduh mengguna pakai jaminan RM35,000 yang ditawarkan kepadanya bagi satu lagi kes rasuah dihadapinya di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Mahkamah juga menetapkan syarat tambahan iaitu serahan pasport kepada mahkamah dan melapor diri di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setiap bulan.

Rozilah membenarkan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur di mana Izwan menghadapi lima pertuduhan rasuah melibatkan cadangan pelantikan sebuah syarikat sebagai subkontraktor bagi projek jalan di Gua Musang, Kelantan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Nurul Atiqah Mohamad Alias manakala peguam Hamdan Hamzah mewakili tertuduh.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.