Pegawai Maritim mengaku terima rasuah lindungi bot nelayan

Pegawai Maritim mengaku terima rasuah lindungi bot nelayan

Hakim menjatuhkan hukuman denda RM15,000 terhadap Kamarulnizam Mohd Din yang mengaku salah atas lima tuduhan rasuah.

Pegawai Maritim Malaysia menerima rasuah dari pemilik bot nelayan dan ‘runner’ di sekitar negeri Kedah dan Perlis bagi melindungi mereka yang melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985. (Gambar Reuters)
PETALING JAYA:
Seorang pegawai Maritim Malaysia didenda RM15,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh atas lima tuduhan menerima rasuah dari pemilik bot nelayan antara 2017 sehingga tahun 2021.

Hakim Ahmad Kamar Jamaludin menjatuhkan hukuman itu terhadap Kamarulnizam Mohd Din, 49, dan mengarahkan tertuduh dihukum penjara enam bulan jika gagal membayar denda tersebut.

Menurut laporan Sinar Harian, Kamarulnizam didakwa menerima rasuah daripada pemilik-pemilik bot dan ‘runner’ di sekitar negeri Kedah dan Perlis dengan nilai keseluruhan RM8,000 semasa bertugas sebagai pegawai maritim di Zon Maritim Kuala Perlis.

Dia menerima rasuah itu sebagai balasan bagi melindungi dan tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas bot-bot nelayan yang melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985.

Kamarulnizam didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Dilaporkan Kamarulnizam membayar denda tersebut.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Atiqah Mohamad Alias manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.