
Pengarah Pusat Kelestarian Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Mohd Fadhil Md Din berkata pengenalan hukuman itu membuka ruang kepada masyarakat memahami aspek pembersihan dan pengurusan sisa yang sebelum ini kurang diberi perhatian.
Menurutnya, hukuman seperti konsep khidmat masyarakat sesuatu telah lama diamalkan di beberapa negara bagi kesalahan tidak melibatkan jenayah serius, selain memberi peluang pesalah terlibat secara langsung dalam kerja pembersihan.
“Namun, cabaran utama pelaksanaan hukuman itu terletak pada aspek penguatkuasaan, khususnya memastikan tindakan diambil secara adil dan tidak bersifat terpilih.
“Orang awam sering melihat penguatkuasaan sebagai bersasar. Cabaran terbesar ialah memastikan keadilan dilaksanakan tanpa mengira sama ada terhadap warga tempatan atau warga asing,” katanya kepada FMT.
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah mengeluarkan peringatan akhir susulan perintah khidmat masyarakat bakal berkuat kuasa mulai hari ini sebagai sebahagian penguatkuasaan lebih tegas terhadap tabiat membuang sampah di tempat awam.
Menteri Nga Kor Ming dipetik berkata pegawai penguat kuasa sudah diarahkan untuk melaksanakan undang-undang baharu itu, yang bertujuan memperkukuh kebersihan awam serta tanggungjawab sivik.
Menurutnya, langkah itu bertujuan memperkukuh kebersihan awam dan tanggungjawab sivik, selain memastikan imej negara terpelihara menjelang sepanjang Tahun Melawat Malaysia 2026.
Sementara itu, pakar psikologi dan kaunseling Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Liley Afzani Saidi berkata hukuman semata-mata tidak mencukupi untuk mengubah tingkah laku manusia secara jangka panjang.
“Dari sudut psikologi, hukuman tanpa pendidikan hanya memberi kesan sementara.
“Perubahan jangka panjang memerlukan kefahaman, pembelajaran nilai dan kesedaran tentang kesan perbuatan,” katanya.
Beliau berkata hukuman berbentuk kerja pembersihan memberi kesan lebih mendalam berbanding denda kewangan kerana melibatkan pengalaman fizikal dan emosi secara langsung.
“Berbanding membayar denda yang mudah dilupakan, khidmat masyarakat memberi peluang individu melihat sendiri kesan perbuatan mereka dan usaha diperlukan untuk mengekalkan kebersihan,” katanya.