
Dr Fadzilah A’ini A Kadir, 68, didakwa secara tidak munasabah meninggalkan penjagaan seekor kucing dan seekor anjing hingga menyebabkan kematian haiwan tersebut di premis berkenaan.
Dia dituduh mengikut Seksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 29(1) akta sama, lapor Bernama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda antara RM20,000 hingga RM100,000 atau dipenjara hingga tiga tahun atau kedua-duanya.
Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor Mohd Sharif Sabran menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.
Bagaimanapun, Dr Fadzilah yang tidak diwakili peguam merayu jaminan dikurangkan kerana dia ibu tunggal.
Hakim Noor Ruzilawati Mohd Nor membenarkan ikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan seperti dipohon pihak pendakwaan.
Mahkamah menetapkan 4 Feb untuk sebutan kes bagi lantikan peguam dan serahan dokumen.
Sebelum ini tular rakaman video dan gambar di media sosial memaparkan seekor anjing dan seekor kucing mati di sebuah klinik veterinar di Damansara Damai.
Berikutan itu, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor memaklumkan, susulan aduan pada 17 Dis, pemeriksaan mendapati kedua-dua haiwan ditemui mati di dalam sangkar berasingan dengan anggaran tempoh kematian antara satu dan dua minggu.