
Hakim Rafiqha Hanim Rosli berkata, M Mahendravarman gagal membuktikan kesnya mengikut kebarangkalian.
Dalam penghakiman lisan disampaikan awal bulan ini, Rafiqha menyatakan plaintif hanya layak menuntut wang hadiah jika dapat mengemukakan tiket kemenangan yang asli.
Beliau memerintahkan Mahendravarman, seorang usahawan, membayar RM10,000 sebagai kos kepada Pan Malaysian Pools Sdn Bhd.
Peguam R Kengadharan, yang mewakili Mahendravarman, berkata rayuan telah difailkan minggu lalu bagi membolehkan kes ini didengar di Mahkamah Tinggi.
Dalam kenyataan tuntutannya, Mahendravarman berkata beliau telah membeli nombor ‘1515’ dan ‘1010’ di cawangan syarikat perjudian itu di Petaling Jaya pada 14 Mei 2022 yang berharga
RM30.
Dia mendakwa telah memenangi RM185,671 dengan nombor itu.
Mahendravarman menjelaskan dia hanya mengambil gambar tiket menggunakan telefon bimbit tetapi kehilangan tiket asal.
Mahendravarman berkata beliau telah membuat laporan polis pada 16 Mei 2022 kerana gagal menemui tiket itu walaupun telah mencarinya di rumah.
Dia kemudian pergi ke cawangan sama di Petaling Jaya untuk menuntut wang hadiah dengan menunjukkan gambar tiket, tetapi tuntutannya tidak diterima.
Mahendravarman juga ke ibu pejabat Pan Malaysian Pools di Wisma Genting, tetapi dimaklumkan tiket asli perlu dikemukakan.
Mahendravarman mendakwa syarikat perjudian itu melakukan kesalahan menahan wang kemenangan dan menafikan haknya sebagai pemenang.
Pan Malaysian Pools, yang diwakili Yong Huey Leng dan B Shamala, berkata peraturan syarikat menetapkan mereka yang menuntut wang hadiah mesti mengemukakan tiket kemenangan asli.