Wanita aniaya anak hingga cedera dijel 3 bulan

Wanita aniaya anak hingga cedera dijel 3 bulan

Mahkamah Sesyen Seremban juga perintah Fatin Nur Diana Zakaria jalani khidmat masyarakat selama 120 jam dan dikenakan bon berkelakuan baik.

seremban court
Fatin Nur Diana Zakaria mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban atas tuduhan menganiaya anak perempuannya hingga mendatangkan kecederaan pada kepala dan tangan pada Oktober lalu. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang wanita dihukum penjara tiga bulan dan diperintah menjalani khidmat masyarakat selama 120 jam oleh Mahkamah Sesyen Seremban selepas mengaku bersalah menganiaya anak perempuannya hingga mendatangkan kecederaan pada Oktober lalu.

Hakim Surita Budin menjatuhkan hukuman itu terhadap Fatin Nur Diana Zakaria, 31, selepas mengambil kira pengakuan bersalah tertuduh dan hujahan pihak pendakwaan serta pembelaan, lapor Sinar Harian.

Tertuduh turut diarah menyempurnakan bon berkelakuan baik dengan cagaran RM1,000 dengan seorang penjamin dan jika gagal bayar, boleh dipenjara dua bulan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menganiaya anak perempuannya berusia 11 tahun sehingga mengalami kecederaan pada kepala dan lengan kanan di sebuah rumah pangsa dekat Lobak pada 5.30 pagi, 29 Okt lalu.

Fatin didakwa di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 yang boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya.

Terdahulu, peguam Jabatan Bantuan Guaman, Hanis Anisah Jamiludin yang mewakili tertuduh berkata wanita itu bekerja sebagai juruwang mempunyai dua anak dan berpendapatan RM1,000 sebulan, manakala suaminya bekerja sebagai pengawal keselamatan.

Hanis berkata, tertuduh merupakan pesakit mental dan bergantung pada ubat selain mempunyai sejarah cubaan bunuh diri.

“Kejadian itu berlaku atas faktor kegagalan tertuduh mengawal kemarahan terhadap mangsa dan dia kini telah menyesal dan sangat rindukan anak-anak,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Norazihah Asmuni pula memohon hukuman setimpal mengambil kira hubungan tertuduh sebagai ibu yang sepatutnya melindungi anaknya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.