
Semua tertuduh, Raja Yusuf Saifullah Raja Shariffudin, 34, Miqdad Elya Zulkifli, 39, Nor Hizam Mohd Nor, 45, dan Mohamad Faizul Mat Yusoh, 43, mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nik Habri Muhamad.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi, lapor Bernama.
Mengikut pertuduhan, Raja Yusuf dan Miqdad Elya didakwa menyeludup dua lelaki warga Myanmar di sebuah pasar raya di Kuala Krai pada 4.45 petang 14 Nov lalu.
Nor Hizam dan Faizul pula didakwa menyeludup enam lelaki warga Myanmar di hadapan sebuah rumah teres di Pulai Chondong, Machang pada kira-kira 12.30 tengah malam, 15 Nov lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 26A Akta AntiPemerdagangan Orang dan AntiPenyeludupan Migran 2007 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun, denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kamarul Hasyime Rosli manakala peguam Muhammad Aridz Mirzha Ahmad Masrizal mewakili Raja Yusuf.
Tiga lagi tertuduh tidak diwakili peguam.
Hakim yang tidak membenarkan jaminan menetapkan 21 Jan depan sebagai tarikh sebutan semula kes.