Lelaki mengaku tak salah tuduhan serangan ketika himpunan

Lelaki mengaku tak salah tuduhan serangan ketika himpunan

Isa Hazmi Zulkifli, 32, didakwa serang seorang lagi peserta himpunan Global Sumud Flotilla di luar kedutaan AS pada Oktober.

Isa Hazmi Zulkifli didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan atas kesalahan sengaja sebabkan kecederaan.
KUALA LUMPUR:
Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret hari ini atas tuduhan serangan ketika perhimpunan Global Sumud Flotilla pada Oktober.

Isa Hazmi Zulkifli, 32, dituduh mencederakan seorang lagi peserta perhimpunan tersebut di luar Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Jalan Tun Razak, pada kira-kira 1.30 tengah hari.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan atas kesalahan sengaja menyebabkan kecederaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun, denda maksimum RM2,000, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nur Farhana Poad menawarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin dan memohon syarat tambahan agar tertuduh tidak mengganggu saksi pendakwaan.

Peguam Zaid Malek yang mewakili Isa memohon jaminan RM700 kerana anak guamnya mengalami kekangan kewangan selain perlu menjaga ibunya yang sakit.

Majistret Faezahnoor Hassan membenarkan jaminan RM1,300 dengan seorang penjamin dan menetapkan 12 Feb depan untuk sebutan semula kes.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.