
Tertuduh, Xyful Naseem Muzzammil Rizuwan, 24, mengaku tidak bersalah setelah kedua-dua tuduhan dibaca secara berasingan di hadapan Majistret Arun Noval Dass, lapor Berita Harian.
Mengikut tuduhan pertama, dia didakwa dengan sengaja berbogel di hadapan seorang suri rumah berusia 34 tahun yang sedang berjoging di Jalan Parit Sempadan Laut, Parit Raja, pada 8 pagi, 26 Jan lepas.
Kesalahan didakwa dilakukan mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun jika sabit kesalahan.
Bagi tuduhan kedua, dia didakwa menyimpan 1,259 video dan 1,196 gambar lucah dalam telefon bimbit miliknya pada tarikh, waktu dan lokasi sama, dan boleh dipenjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Ketika kejadian, mangsa bersama dua lagi rakannya sedang berjoging sebelum terdengar bunyi dari semak berhampiran. Mangsa kemudian ternampak kelibat lelaki tidak dikenali di tepi semak dalam keadaan berbogel.
Susulan itu, tertuduh mengekori mangsa dan rakannya, menyebabkan mereka melarikan diri kerana takut.
Mangsa menjerit meminta pertolongan penduduk berdekatan sementara tertuduh lari ke dalam semak lalu memakai semula pakaiannya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Sharifah Natasha Syed Ahmad manakala tertuduh diwakili peguam, Suhaila Shafi’uddin.
Terdahulu, pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM18,000 kepada tertuduh bagi semua tuduhan beserta syarat tambahan.
Bagaimanapun, mahkamah membenarkan jaminan RM3,000 dan memerintahkan tertuduh tidak mengganggu saksi pendakwaan termasuk mangsa sehingga kes selesai.
Kes disebut semula pada 20 April ini untuk serahan dokumen.