
Katanya, ramai sedang menunggu untuk bertepuk tangan menyaksikan projek “Muhyiddin exit” berjaya.
“Bagi PAS, masalah PN akan selesai apabila Muhyiddin berundur. PAS lantiklah orangnya sebagai pengerusi PN. Tidak perlu lagi pinda perlembagaan PN.
“Cadangan mewujudkan majlis presiden dan majlis eksekutif seperti terkandung dalam surat (Presiden PAS) Hadi Awang kepada Muhyiddin pada Disember 2024 hanyalah bertujuan untuk mengekang kuasa Muhyiddin sebagai pengerusi PN, bukan untuk memperkasakan PN.
“Apabila Muhyiddin berundur, kedua-dua majlis ini menjadi akademik, useless,” katanya dalam catatan Facebook.
Rabu lalu, Muhyiddin mendakwa Bersatu dan PAS bersetuju memansuhkan jawatan pengerusi PN sebagai sebahagian penstrukturan semula gabungan itu ketika mesyuarat di rumahnya pada 16 Jan lalu.
Bekas perdana menteri itu dilaporkan berkata, mereka juga bersetuju majlis presiden yang akan diketuai Bersatu menjadi pembuat keputusan tertinggi dalam PN, manakala majlis eksekutif pimpinan PAS akan mengendalikan aspek pentadbiran.
Tetapi, Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, menafikan dakwaan Muhyiddin dengan berkata perkara itu tidak dibincangkan dalam mesyuarat berkenaan.
Marzuki berkata, pengunduran Muhyiddin juga akan menyaksikan kekosongan itu diisi Timbalannya, Hamzah Zainudin, yang tidak berhasrat menjadi calon perdana menteri PN pada PRU16.
“Tetapi, adakah beliau akan dicalonkan oleh PN untuk menjadi perdana menteri pada PRU16?
“Melihat keterujaan PAS untuk memimpin PN, jawapannya terlalu tipis. PAS ada empat lori calon PM,” katanya sambil menambah dengan populariti Hamzah hanya 17%, bertanding sebagai calon perdana menteri hanya membazir wangnya.
“Hamzah hanya mahu menjadi presiden Bersatu. Sebagai presiden Bersatu, Hamzah ada nilai yang amat tinggi di mata Umno.”
Selaras seruan Presiden Umno, Zahid Hamidi supaya bekas ahlinya kembali ke pangkuan parti itu demi perpaduan Melayu, beliau menjangkakan Hamzah akan membubarkan Bersatu dan semua ahlinya berhijrah ke Umno.
Jelasnya, Umno dapat mengukuhkan partinya dan terus bekerjasama dengan Pakatan Harapan, Gabungan Parti Sarawak serta Gabungan Rakyat Sabah untuk membentuk kerajaan selepas PRU16.
“Bersatu berkubur dan Hamzah ‘will kiss a good bye to PAS’. PAS akan kalah besar dalam PRU16.”
Beliau berkata, kesan “Muhyiddin exit” ialah Anwar Ibrahim kekal sebagai perdana menteri selepas PRU16.
“Kalau saya boleh menasihati Tan Sri Muhyiddin, exitlah.
“Tiada guna memimpin sekelompok manusia yang tidak tahu menilai kepimpinan anda. Malah, mereka menganggap anda adalah liabiliti terbesar mereka.”