Hamzah isytihar ‘musuh nombor satu’ Muhyiddin

Hamzah isytihar ‘musuh nombor satu’ Muhyiddin

Bekas timbalan presiden Bersatu selar presiden parti guna 'anjing-anjing upahan'.

Hamzah Zainudin fmt 14226
Bekas pemimpin nombor dua Bersatu Hamzah Zainudin hari ini berucap di hadapan lebih 500 penyokong di Rumah Kelab Persatuan Alumni Universiti Malaya, Kuala Lumpur.
KUALA LUMPUR:
Bekas timbalan presiden Bersatu Hamzah Zainudin melancarkan serangan terbuka terhadap presiden parti, Muhyiddin Yassin susulan pemecatannya oleh lembaga disiplin parti semalam.

Berucap di hadapan lebih 500 penyokong, Hamzah menegaskan beliau masih tertanya-tanya punca sebenar beliau disingkirkan daripada parti.

“Hantu apa yang ada dalam parti Bersatu ini?

“Saya pernah jadi penyokong nombor satu beliau (Muhyiddin). (Namun) hari ini, saya ingin nyatakan, saya penentang nombor satu beliau,” katanya pada perhimpunan di Rumah Kelab Persatuan Alumni Universiti Malaya hari ini.

Hamzah menegaskan, beliau telah banyak berkorban demi Bersatu dan negara.

“Jika kamu guna anjing-anjing upahan (untuk serang saya), kini saya musuh nombor satu kamu,” katanya.

“Muhyiddin minta saya tolong, saya tolong. Minta saya sumbang, walaupun dengan wang saya sendiri, saya beri. Semuanya demi perjuangan (parti), kerana saya sedar perjuangan sebenar perlukan pengorbanan.”

Hamzah Zainudin fmt 14226
Bekas timbalan presiden Bersatu Hamzah Zainudin bersama penyokong pada himpunan di Kuala Lumpur hari ini.

‘Bangkit bersama saya’

Hamzah turut memohon maaf kepada ahli parti, berkata beliau tidak akan kembali kerana tidak berhasrat membuat rayuan kepada Bersatu.

“Saya nak lihat masa depan lebih cerah. Kita kena ‘reset’, nak bina negara ini,” katanya, menyeru ‘sahabat-sahabat’ beliau agar menyokong perjuangannya.

Hamzah adalah antara 17 pemimpin Bersatu yang dipecat daripada parti semalam susulan kemelut kepimpinan antara beliau dan Muhyiddin.

Setiausaha Agung Bersatu Azmin Ali memaklumkan, lembaga disiplin melucutkan keahlian Hamzah selepas mendapati beliau melanggar Fasal 9.1.4 perlembagaan parti, yang mensyaratkan ahli supaya mematuhi perlembagaan, kod etika dan tata kelakuan.

Terdahulu, Hamzah dipanggil menghadap lembaga tersebut susulan aduan beliau cuba mensabotaj perhimpunan agung tahunan 2025 serta menggugat kepimpinan parti.

Beliau bagaimanapun gagal hadir ke prosiding lembaga disiplin pada Khamis kerana berada di Sydney, Australia.

Setiausaha sulit Hamzah Ahmad Ikhwan Fadhli berkata, beliau sudahpun berada di luar negara ketika menerima notis tersebut pada 7 Feb dan segera memaklumkan kepada lembaga disiplin bahawa beliau tidak dapat hadir.

Satu notis bertarikh 6 Feb menyatakan ia merupakan panggilan kedua, menyusuli panggilan awal yang pernah dikeluarkan pada Oktober tahun lepas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.