Bertanding hak demokrasi kami, PAS jawab Dr Mahathir

Bertanding hak demokrasi kami, PAS jawab Dr Mahathir

Ketua Dewan Ulama PAS menolak dakwaan presiden parti itu bekerjasama dengan Umno kerana ia melawan semua pihak berdasarkan haknya.

mahfodz
PETALING JAYA:
PAS hari ini mempertahankan keputusannya untuk tidak bertanding di kerusi yang bakal ditandingi Pakatan Harapan (PH), selepas tindakan itu diserang Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai “khianat” dan usaha membantu kemenangan Barisan Nasional (BN).

“PPBM akan bertanding, PH akan bertanding, BN bertanding. Itu hak kita mengundi. Nak bertanding hak masing-masing. Bukan nak mengkhianati sesiapa,” kata Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Mahfodz Mohamed.

Dr Mahathir yang juga pengerusi PH hari ini berkata Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sedar partinya akan tewas teruk pada pilihan raya umum akan datang, dan oleh itu bertindak memecahkan undi pembangkang lain dan bekerjasama dengan Umno.

“Itu niat dia. Itu bukan Islamik. Dalam Bahasa Melayu kita panggil ia pengkhianat,” kata Dr Mahathir yang menyindir Hadi kerana pernah mendakwa Umno kafir.

“Dia akan bantu kafir ini yang mana dia kata kalau kerja dengan kafir, akan jadi kafir. Sekarang mereka (PAS) bekerjasama dengan Umno, maknanya dia sedang kafirkan diri sendiri,” katanya.

Mahfodz menolak dakwaan Hadi bekerjasama dengan Umno.

“Nak katakan kafirkan diri macam mana, pasal semua yang bertanding itu kita lawan. Sama ada 2 penjuru, 3 penjuru itu hak masing-masing. Yang menentukan menang kalah adalah selain daripada usaha masing-masing, Allah akan menentukan. Jadi tak timbullah soal khianat,” katanya kepada FMT.

Menurut Mahfodz, kafirnya seseorang diputuskan Majlis Fatwa Kebangsaan.

Menurutnya, Dr Mahathir cuba ambil alih tugas mufti dengan dakwaan terbaru itu.

“Adalah terlampau semua itu dia nak kawal. Tentang hukum pun dia… Bagi saya lebih baik diam kalau tak tahu soal hukum.”

PAS sebelum ini berkata akan bertanding lebih 130 kerusi Parlimen. Parti itu tidak menyertai PH, sebaliknya mahu bekerjasama dengan Parti Ikatan Bangsa Malaysia, sebuah parti kecil dipimpin bekas menteri Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir.

Hadi sedang kafirkan diri, kata Dr Mahathir

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.