
Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi hari ini membenarkan permohonan bekas timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi mendapatkan pasportnya bagi mengerjakan umrah pada 21 hingga 30 April.
Menurut laporan Harian Metro, hakim Collin Lawrence Sequerah membenarkan presiden Umno itu mendapatkan dokumen terbabit hari ini kerana beliau memerlukannya untuk proses membuat visa.
Kebenaran itu diberikan selepas Timbalan Pendakwa Raya Raja Rozela Raja Toran memaklumkan bahawa pendakwaan tidak membantah permohonan berkenaan.
Menurut Raja Rozela, oleh kerana tarikh untuk menunaikan umrah itu bertindih dengan tarikh perbicaraan yang sudah ditetapkan sebelum ini, maka hari perbicaraan yang dilapangkan sepatutnya digantikan dengan tarikh baharu.
Terdahulu, peguam mewakili Zahid, Hisyam Teh Poh Teik berkata, pembelaan berharap pasport anak guamnya diberikan serta-merta kerana ia diperlukan untuk memudahkan urusan mendapatkan visa.
Katanya, anak guamnya akan mengaku janji untuk memulangkan pasport itu pada 5 Mei ini.
Sequerah kemudian menetapkan 13 dan 15 April ini serta 1 Julai bagi tarikh gantian perbicaraan bela diri.
Permohonan untuk pelepasan pasport itu adalah kali kedua dilakukan Zahid selepas Sequerah pada 11 Oktober tahun lalu membenarkan beliau mendapatkan dokumen itu bagi membolehkannya menerima rawatan pembedahan tulang belakang di Munich, Jerman.
Dalam prosiding 13 April ini, Zahid akan mula membela diri terhadap 47 tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi.
Zahid didakwa dengan 12 pertuduhan pecah amanah, iaitu menggunakan dana Yayasan Akalbudi untuk membuat enam pembayaran kad kredit milik persendirian, polisi insurans kenderaan dan lesen motor persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Bagi lapan tuduhan rasuah pula, beliau didakwa menerima suapan daripada tiga syarikat, iaitu Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Data Sonic Group Berhad dan Profound Radiance Sdn Bhd sebagai dorongan untuk dirinya sebagai menteri dalam negeri ketika itu bagi membantu syarikat berkenaan mendapatkan projek MyEG.
Ia bagi melaksanakan penambahan pembekalan cip pasport selama lima tahun atau 12.5 juta cip yang akan dimasukkan ke dalam halaman biodata polycarbonate pasport Malaysia untuk Jabatan Imigresen sebagai pengendali perkhidmatan pusat sehenti di Pakistan dan Nepal bawah kendalian Kementerian Dalam Negeri.