Ahli perniagaan Indonesia didenda USD370 juta

Ahli perniagaan Indonesia didenda USD370 juta

Benny Tjokrosaputro didapati bersalah dalam kes manipulasi saham melibatkan firma insurans kebangsaan, Asabri.

Benny Tjokrosaputro memfailkan saman USD1 bilion terhadap Goldman Sachs pada 2018. (Gambar Reuters)
JAKARTA:
Mahkamah di Indonesia hari ini memerintahkan ahli perniagaan Benny Tjokrosaputro didenda 5.7 rupiah (USD371.67 juta) kerana bersalah dalam kes manipulasi saham melibatkan firma insurans kebangsaan, Asabri.

Tjokrosaputro tidak dikenakan hukuman penjara kerana sedang menjalani hukuman penjara seumur hidup dalam kes berasingan sejak 2020 yang dikaitkan dengan kerugian pelaburan jutaan dolar melibatkan syarikat insurans lain, Asuransi Jiwasraya, kata Hakim Ignatius Eko Purwanto.

Ahli perniagaan itu menafikan semua tuduhan terhadapnya, dan peguam bela Aditya W Santoso berkata pihaknya belum memutuskan sama ada mahu mengemukakan rayuan.

Nama Tjokrosaputro terkenal di peringkat antarabangsa pada 2018 apabila memfailkan saman USD1 bilion terhadap Goldman Sachs berkaitan pemilikan saham sebuah syarikat Indonesia. Beliau menang kes itu di mahkamah rendah namun kalah di peringkat Mahkamah Agung, tahun lalu.

Panel hakim diketuai Ignatius hari ini memutuskan Tjokrosaputro bersalah mengatur supaya Asabri membeli saham pada harga terlalu tinggi yang kemudian mengalami kemerosotan nilai, untuk meraih untung bagi diri sendiri dan beberapa rakan niaga.

Mahkamah berkata, kerajaan boleh merampas aset Tjokrosaputro sekiranya tidak melunaskan denda itu.

Jumlah denda itu antara yang tertinggi bagi kes rasuah di Indonesia. Pendakwaan sebelum ini memohon dia dikenakan hukuman mati.

Pendakwaan menuduh Tjokrosaputro mengawal keputusan pelaburan Asabri antara 2012 hingga 2019, mengakibatkan negara mengalami kerugian 22.78 trilion.

Asabri syarikat insurans yang menyediakan perkhidmatan untuk anggota tentera, polis dan kakitangan awam di kementerian kewangan, telah mengalami masalah kewangan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.