Penduduk Wilayah Persekutuan paling ramai kemurungan

Penduduk Wilayah Persekutuan paling ramai kemurungan

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata rekod itu diperoleh berdasarkan beberapa faktor termasuk kos sara hidup tinggi.

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata KKM mengambil langkah mengatasi permasalahan kesihatan mental dialami masyarakat khususnya kumpulan sasar termasuk golongan muda dan warga emas. (Gambar Envato Elements)
KUALA LUMPUR:
Wilayah Persekutuan mencatatkan penduduk paling ramai mengalami masalah kemurungan dan kebimbangan (anxiety) melampau disebabkan beberapa faktor termasuk kos sara hidup tinggi.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa, berkata berdasarkan saringan dijalankan pada 2022, antara faktor lain menyumbang kepada masalah itu adalah tekanan ibu bapa dan masalah perhubungan rakan sebaya.

“Golongan B40 juga ramai di Wilayah Persekutuan dan kita menemui ramai miskin bandar di wilayah. Selain itu masalah perhubungan serta tekanan contohnya daripada ibu bapa, anak jadi stres (tertekan),” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan tambahan Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) yang ingin tahu negeri paling tinggi menghadapi masalah mental dan kemurungan.

Sementara itu, Zaliha berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) mengambil langkah untuk mengatasi permasalahan kesihatan mental dialami oleh masyarakat khususnya bagi kumpulan sasar termasuk kanak-kanak remaja, golongan muda dan warga emas.

Menurutnya, kebanyakan masalah kesihatan mental dihadapi golongan muda dipengaruhi oleh faktor sosial seperti kewangan, perhubungan, buli, tingkah laku berisiko, penyalahgunaan substans, rasa rendah diri dan jangkaan tinggi terhadap diri sendiri yang menyumbang kepada stres, keresahan dan kemurungan.

Bagi menangani masalah kesihatan mental dalam kalangan golongan muda, Zaliha berkata, KKM melaksanakan inisiatif seperti perkhidmatan kesihatan mental di 1,161 klinik kesihatan, 58 hospital, 34 pusat Kesihatan Mental Masyarakat (Mentari), serta empat institusi mental meliputi aspek promosi, pencegahan, pengesanan awal dan rehabilitasi.

Selain itu, Program Minda Sihat Sekolah dilaksanakan secara kolaborasi dengan Kementerian Pendidikan meliputi saringan dan intervensi menggunakan Modul Minda Sihat KPM dan Modul Kesihatan Mental Remaja KKM.

“Bagi meningkatkan kualiti penjagaan kesihatan mental dalam kalangan warga emas, KKM telah menyediakan perkhidmatan saringan kesihatan mental di klinik kesihatan bagi mengesan awal masalah seperti dementia,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.