Hanipa Maidin selamat jalani pembedahan otak

Hanipa Maidin selamat jalani pembedahan otak

Beliau pengsan di Dewan Rakyat semalam dan dikejarkan ke IJN sebelum dipindahkan ke HKL.

hanipa-maidin
PETALING JAYA: Ahli Parlimen Sepang, Hanipa Maidin selamat menjalani pembedahan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) malam tadi selepas pengsan secara tiba-tiba di Dewan Rakyat, semalam.

Beliau sebelum itu dikejarkan ke Institut Jantung Negara (IJN) sebelum dipindahkan ke Wad Kecemasan HKL.

Menurut laporan media, Hanipa menjalani pembedahan otak selepas mengalami pendarahan otak akibat tekanan darah tinggi.

Beliau ketika ini dilaporkan stabil dan di tempatkan Unit Rawatan Rapi (ICU) HKL.

Hanipa telah dibawa keluar dari persidangan Dewan Rakyat ketika perbahasan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainuddin mengenai Rang Undang-Undang Syarikat 2015.

Pegawai Parlimen yang bertugas memaklumkan Hanipa muntah-muntah dan tekanan darah peguam itu melonjak tinggi mencecah 250/110.

Hanipa adalah Ahli Parlimen Sepang sejak 2013 di bawah tiket Pas sebelum menyertai Parti AMANAH tahun lalu.

Sementara itu, seorang lagi anggota Jawantankuasa Pimpinan AMANAH yang juga Bendahari Agung, Asmuni Awi sedang dirawat di IJN selepas menjalani pembedahan pintasan jantung beberapa hari lalu.

Setiausaha Agung AMANAH, Mohd Anuar Tahir dalam kenyataan media meminta seluruh rakyat mendoakan kesihatan kedua-dua pemimpin parti itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.