Mahathir tidak akui Malaysia ada masalah demokrasi

Mahathir tidak akui Malaysia ada masalah demokrasi

Dr Mahathir gagal menjawab persoalan yang ditimbulkan dan mengalihkan perhatian kepada soal yang lain.

chegubard

PETALING JAYA:
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) meninggalkan sesi tertutup dialog Deklarasi Rakyat dengan perasaan tidak berpuas hati dan menggeleng kepala.

Pengasasnya, Badrul Hisham Shahrin (Chegubard) berkata dialog ‘Deklarasi Rakyat: Realiti atau Fantasi’ di Rumah Kelab Alumni Universiti Malaya hari ini menonjolkan satu perkara yang mereka bimbang: Tun Mahathir Mohamad tidak akui Malaysia ada masalah demokrasi.

“Saya tidak nampak elemen dimana keperluan untuk kita menyokong Deklarasi Rakyat yang semata-mata untuk memenuhi nafsu politik Mahathir menjatuhkan Najib (Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak) menggantikan dengan orang yang dia pilih,” katanya ketika ditemui pemberita seusai dialog itu.

Di dialog hari ini, hadirin mengemukakan beberapa soalan yang dirasakan penting buat mereka, iaitu langkah susulan menangani kesan rasuah dan penyelewengan yang didakwa berlaku hari ini; pemulihan yang akan membuka laluan kepada pilihanraya adil dan bersih; dan kerajaan peralihan.

“Ketika ditanya oleh aktivis-aktivis Bersih (Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil) tadi berkenaan dengan pilihan raya bersih dan adil, dia hanya mengambil analogi: siapa kalah dia akan cakap pilihan raya tak adil, siapa menang dia dituduh menipu.

“Selepas menjatuhkan Pak Lah (Abdullah Ahmad Badawi) kamu (kumpulan anti-Abdullah) berjaya masuk balik dalam kerajaan dan mendapat kedudukan yang penting tetapi kamu tidak langsung mengembalikan wang rakyat dan sebagainya…itupun dia tidak menjawab persoalan.

“Tun (Mahathir) juga gagal menjelaskan proses transisi yang bakal dilakukan sekiranya berjaya menjatuhkan Najib bagi memastikan Malaysia ini bersih dan adil dibawah kepimpinan baharu,”  jelas Chegubard.

SAMM sebelum ini melahirkan kekhuatiran pembabitan pemimpin pembangkang dalam muafakat Deklarasi Rakyat akan diperalatkan oleh bekas Perdana Menteri itu.

Gerakan itu menyifatkan Mahathir hanya mahu merealisasikan matlamat menyingkirkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dan kembali memegang jawatan dalam kerajaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.