Maafkan kami, pohon Kit Siang kepada pengundi

Maafkan kami, pohon Kit Siang kepada pengundi

Seusai mohon maaf, Kit Siang menyorot perhatian hadirin kepada skandal 1MDB

kit-siang-sarawak

KUCHING:
Ceramah DAP pada malam pertama kempen Pilihan Raya Negeri Sarawak bermula dengan permohonan maaf pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang kepada rakyat Sarawak.

“Saya memohon maaf kerana gagal memastikan pertandingan satu lawan satu dengan BN.

“Sekarang kami menghadapi konflik di enam kerusi.

“Tetapi saya tidak mahu bercakap mengenainya. Kita tunggu pilihan raya selesai,” katanya di satu ceramah DAP di sini.

Permohonan maaf di khalayak ramai itu menyusuli pengesahan pertembungan antara PKR dan DAP di kerusi Mulu, Mambong, Murum, Simanggang, Ngemah dan Batu Kitang semalam.

Penceramah lain di ceramah malam tadi terdiri daripada pemimpin DAP tempatan seperti Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen; Wong King Wei; Christina Chiew; Violet Yong dan Abdul Aziz Isa.

Seusai memohon maaf, Kit Siang menyorot perhatian hadirin kepada skandal 1MDB dan kegagalan pemerintah menangani permasalahan itu.

Beliau turut menggesa pengundi supaya menyokong calon DAP supaya mereka boleh ‘memantau’ Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem.

Sementara itu, Abdul Aziz yang akan bertanding di Batu Kitang menentang calon PKR, Voon Shiak Ni juga mengelak daripada menghuraikan perkelahian antara kedua parti.

Beliau hanya menyentuh isu sekitar kerajaan BN dan dakwaan-dakwaan rasuah.

Tiba giliran Chieng Jen memberi ucapan, Pengerusi DAP Sarawak itu menggesa pengundi supaya memilih Abdul Aziz untuk Batu Kitang.

“Tumpukan undi anda pada DAP, Aziz,” katanya, tanpa menyebut PKR.

Semalam di sidang media DAP, Chieng Jen berkata partinya akan berkempen secara bersendirian dalam pilihan raya kali ini.

Beliau menggesa pengundi supaya mengundi DAP di kawasan yang menjadi pertikaian dengan PKR, dan mengundi PKR di kerusi-kerusi yang tidak ditandingi partinya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.