APMM sahkan gambar bot hilang bawa pelancong China

APMM sahkan gambar bot hilang bawa pelancong China

APMM turut mendedahkan agensi pelancongan yang bertanggungjawab mengatur lawatan dan menempah bot adalah Golden Sailing.

bot
PETALING JAYA:
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengesahkan gambar diperoleh FMT adalah bot membawa 28 pelancong China yang hilang di perairan Sabah.

Pegawai komunikasi Awil Kamsari turut memberitahu FMT, agensi pelancongan yang bertanggungjawab mengatur lawatan dan menempah bot berkenaan adalah Golden Sailing yang kemudiannya bertindak melaporkan kehilangannya.

“Ya, memang itu 2 keping gambar bot hilang yang kami perolehi.
“Kami menghubungi agensi dan mendapati wakil agensi adalah pihak yang memfailkan laporan kehilangan itu,” katanya.

FMT berjaya memperoleh gambar bot itu melalui media sosial WhatsApp, menunjukkan sebuah bot berwarna putih dengan nombor pendaftaran hampir sama dengan Catamaran hilang.

Bot Catamaran putih itu mempunyai 4 baris tempat duduk dan bilik dek. Ia menggunakan 2 enjin Yamaha dengan 250 kuasa kuda.

Apabila ditanya berapa ramai penumpang boleh dimuatkan dalam bot berkenaan serta had kapasitinya, Awil berkata pihak berkuasa tidak boleh memastikannya sehingga mereka menjumpai bot dan memeriksanya sendiri.

Bot berkenaan meninggalkan Tanjung Aru, Kota Kinabalu, Sabah menuju Pulau Mengalum pada pukul 9 pagi semalam, hari pertama Tahun Baru Cina, dan dilaporkan hilang apabila ia tidak kunjung tiba selepas 12 jam kemudian.

Tentera Laut Diraja Malaysia, polis maritim dan udara yang terlibat dalam operasi pencarian, lapor APMM dalam satu kenyataan pagi ini.

Lebih 400 batu persegi laut kawasan di Sabah sedang dicari untuk mencari bot yang hilang.

28 pelancong China hilang di perairan Sabah

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.