Bebas: RUU Hadi masih belum tewas

Bebas: RUU Hadi masih belum tewas

Kumpulan aktivis sekular itu berkata ia tidak teragak-agak untuk menggerakkan pendapat umum menentang rang undang-undang pindaan syariah jika ia dibentangkan.

Azrul-Mohd-Khalib_law_600
PETALING JAYA:
Walaupun kerajaan tidak akan mengambil alih atau membentangkan rang undang-undang (RUU) persendirian untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355), RUU itu masih belum ditewaskan, kata kumpulan aktivis sekular Bebas.

Ahli Bebas, Azrul Mohd Khalib berkata sokongan untuk meminda akta itu tidak terhad kepada pemimpin dan ahli PAS.

“Kita perlu sedar ini bukan isu yang hanya mendapat sokongan PAS saja.

“Ia bukan soalan kepada Umno buat keputusan untuk Malaysia dan rakyat, sama ada ia sesuai atau tidak.

“Islamisasi negara kita ialah agenda yang dibawa oleh banyak individu, parti dan organisasi,” katanya.

Azrul berkata RUU persendirian itu yang dibawa Presiden PAS dan Ahli Parlimen Marang Datuk Seri Abdul Hadi Awang – hanya salah satu daripada komponen agenda itu.

Katanya, keputusan kerajaan tidak meneruskan rancangan mengambil alih dan membentangkan RUU itu tidak bermakna ia sudah ditewaskan.

Ia masih RUU persendirian dalam senarai perundangan dan boleh dibentangkan di Dewan Rakyat.

“Kami akan terus berwaspada dan memantau sikap wakil rakyat kita dan tidak akan teragak-agak untuk menggerakkan pendapat umum dalam menentang RUU itu,” katanya.

Azrul berkata buat masa ini rakyat sudah bersuara dan tindakan kerajaan baru-baru ini sudah jelas menunjukkan respons terhadap RUU itu.

“Rakyat menolak RUU dan cadangan pindaan Hadi terhadap undang-undang itu,” katanya.

Sebelum ini, Bebas mengadakan himpunan balas terhadap cadangan pindaan itu, pada hari sama PAS mengadakan himpunan menyokong RUU berkenaan.

RUU itu memohon untuk menaikkan kuasa hukuman mahkamah syariah pada masa ini iaitu hukuman penjara maksimum 3 tahun, 6 sebatan dan denda RM5,000.

Menerusi RUU itu, Hadi mencadangkan hukuman maksimum 30 tahun, 100 sebatan dan denda RM100,000.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.