
Datuk Shaiful Hazizy Zainaol Abidin sukacita memberitahu di bawah kepimpinan Ahmad Bashah, Kedah menjulang Piala Malaysia 2016 dan Piala FA 2017, 2 kali layak ke final Piala FA dan 3 kali layak ke final Piala Malaysia.
“Sebenarnya Datuk Seri Bashah sudah berapa kali di ‘boo’ penyokong Kedah, dan beliau tidak mengambl hati dengan apa yang berlaku. Malah, semangat beliau memajukan sukan bola sepak Kedah sedikitpun tidak luntur dan terbukti pencapaian pasukan sekarang boleh dibanggakan.”
Beliau berkata demikian selepas bekas menteri besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir mendakwa Pemuda Umno negeri “bedak” tiket untuk diberi kepada ahli demi menjaga air muka Bashah pada perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Shah Alam Sabtu ini.
Shaiful menepis kenyataan Mukhriz itu sebagai terdesak kerana partinya, PPBM, tidak mendapat sambutan di Kedah.
“Malah di peringkat akar umbi sendiri parti itu mempunyai masalah, jadi beliau menjadikan bola sepak sebagai senjata politik untuk menyerang Umno Kedah dan menteri besar.
“Saya sebagai ketua pemuda Umno berasa amat kecewa dengan tindakan Mukhriz kerana tindak tanduk dia sekarang sangat berbeza ketika beliau menjadi presiden KFA dan juga pengerusi perhubungan Umno Kedah dahulu,” katanya.
Semalam Mukhriz mendakwa tiket perlawanan akhir bola sepak liga Piala Malaysia di Stadium Darulaman, Alor Setar, habis selepas 1 jam kerana Pemuda Umno mengagihkan tiket kepada ahli demi menjaga air muka Ahmad Bashah
“Mereka mahu pastikan orang-orang dia saja datang ke stadium,” kata Mukhriz, mengulas rasa tidak puas hati penyokong Helang Merah.
Shaiful berkata KFA menggunakan sistem kuota dalam penjualan tiket sudah lama diamalkan, termasuk di zaman Mukhriz. “Kita hanya meneruskan apa yang dilakukan ketika zaman beliau.”
Jualan tiket telus
Sementara itu, Timbalan Presiden KFA Datuk Syed Unan Syed Abdullah berkata penjualan tiket bola sepak perlawanan akhir Piala Malaysia dijalankan secara telus.
Katanya, sebanyak 34,000 keping tiket diperuntukkan kepada Kedah di mana 30,000 tiket dijual secara luar talian manakala baki 4,000 tiket lagi dijual dalam talian.
Daripada jumlah itu sebanyak 17,600 tiket diberikan kepada 400 pemegang permit bas, 1,800 tiket untuk 36 buah badan gabungan KFA, 1,200 tiket kepada pemain dan pegawai KFA, 700 tiket kepada ahli badan eksekutif KFA, 500 tiket kepada penaja dan 200 tiket secara keseluruhan kepada kakitangan KFA.
“Ini menjadikan jumlah keseluruhan 22,000 tiket telah diperuntukkan kepada 400 pemegang permit bas dan kuota KFA. Baki 8,000 tiket telah dijual di 4 kaunter penjualan yang melibatkan lapan laluan yang dibuka pada pukul 9.00 pagi, semalam.
“Sekeping tiket dijual dengan harga RM50 dan proses penjualan berjalan dengan cepat kerana ia tidak melibatkan pertukaran wang kecil dan sebab itu ia habis dijual dalam tempoh 45 minit. Jadi, tidak benar dakwaan kita simpan tiket berkenaan,” katanya pada sidang media di Wisma Darul Aman.
Kedah dan JDT akan membuat perhitungan bagi menentukan negeri yang akan menjulang piala berprestij itu di Stadium Shah Alam, Selangor 4 November ini.