
Ketua pesuruhjaya SPRM itu berkata, beliau juga tidak pernah mendapat sebarang tekanan daripada mana-mana ahli politik untuk bertindak ke atas individu lain.
“Saya hendak maklumkan sejak 1 Ogos 2016 sehingga 4 Disember 2017, saya hendak nyatakan tidak pernah sama sekali Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak beri apa-apa arahan untuk tidak ambil tindakan atau arahkan supaya ambil apa-apa tindakan.
“Tetapi, apa yang kalian dengar di media sosial seolah-olah SPRM ini mengikut telunjuk pemimpin negara dan dikongkong. Itu tidak pernah,” katanya ketika berucap di Persidangan Pemerkasaan Generasi Baharu 2017, hari ini.
Beliau berkata, SPRM tidak pernah dipengaruhi mana-mana pihak, sebaliknya mereka diberi kebebasan sepenuhnya untuk menyiasat dan mengambil tindakan berdasarkan keputusan beliau dan pasukannya.
Katanya, gejala rasuah di Malaysia kebanyakannya sudah dipolitikkan, apatah lagi menjelang pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
“Kita kena faham terlalu banyak isu rasuah dan salah guna kuasa, banyak keadaan yang dipolitikkan, ini masalahnya. Masalah negara kita adalah semua isu hendak dipolitikkan, tambahan lagi bila PRU14.”
Dzulkifli berkata, keyakinan masyarakat kepada SPRM dan isu rasuah berada di tahap terendah sebelum beliau mula berkhidmat dengan agensi anti-rasuah itu.
“Jika hendak dibandingkan sekarang, isu berubah. Kini terdapat lonjakan keyakinan, pelbagai ikhtiar kita cuba laksanakan.
“Saya isytihar kepada rakyat Malaysia, setiap minggu akan ada satu siasatan, kes yang kita siasat akan didakwa di mahkamah. Ini janji dan janji belum lagi kita mungkiri.”