
Tanpa menamakan pemimpin itu, Najib dipercayai merujuk Tun Dr Mahathir Mohamad dengan kegagalan silam bekas perdana menteri itu selama 22 tahun beliau menerajui negara.
“Itu sebab saya kata kalau nak parti masa depan, tapi anda ambil orang dari masa lampau, ia tidak mewakili masa depan.
“Orang muda kena fikirlah. Anda mahu sebuah parti untuk masa depan, anda tidak boleh terima orang masa lampau, betul tak?
“Tak logik. Orang masa lampau akan bawa idea masa lampau ke masa depan, kita nak idea baru,” katanya dalam ucapan penggulungan sempena Perhimpunan Agung Umno ke-71 hari ini.
Sebelum ini, Pakatan Harapan dalam mesyuaratnya membangkitkan cadangan melantik Dr Mahathir dan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai perdana menteri dan timbalan perdana menteri sementara sekiranya gabungan 4 parti pembangkang itu memenangi pilihan raya umum akan datang.
Dr Mahathir sebelum ini beberapa kali berkata, beliau bersedia kembali memegang jawatan yang pernah disandangnya selama 22 tahun, sekiranya PH tidak mempunyai pilihan lain.
PKR yang menjadi salah satu anggota PH sebelum ini bertegas Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang kini menjalani hukuman penjara 5 tahun, masih menjadi pilihan perdana menteri.
Najib berkata, Penasihat DAP, Lim Kit Siang juga tidak sesuai menjadi perdana menteri.
“Saya dengar khabar ada orang bernama Lim Kit Siang berminat nak jadi perdana menteri.
“Kalau tidak percaya, tanya bekas wakil rakyat DUN (Dewan Undangan Negeri) Jawi. Dia percaya Lim Kit Siang minta jadi perdana menteri. Dia keluar DAP sebab Lim diktaktor dan tidak boleh terima cara Lim.”
Semalam, bekas adun Jawi, Tan Beng Huat bersama 100 ahli serta penyokong DAP kawasan Nibong Tebal meninggalkan parti itu dan menyertai Parti Alternatif Rakyat (PAP).
Tan yang bersama DAP lebih 10 tahun berkata, beliau menyertai PAP selepas melihat DAP tidak lagi memegang prinsip sosialis demokrat, sebaliknya menjurus kepada parti dikuasai ”Dinasti Kekeluargaan”.
Najib berkata, di bawah kepimpinannya, kerajaan berjaya menyelamatkan RM2 bilion berbanding bekas perdana menteri yang menurutnya kehilangan RM31 bilion dan enggan mengakui salah lakunya.
Beliau merujuk laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai kerugian urus niaga mata wang asing ditanggung Bank Negara Malaysia sekitar 1990-an yang menyimpulkan negara kerugian RM31 bilion antara 1992 hingga 1994 dan Dr Mahathir selaku perdana menteri ketika itu, menyembunyikan jumlah kerugian sebenar daripada Kabinet.