
MCA menganggap permohonan maaf pemimpin pembangkang berhubung video ceramah politik yang tular baru-baru ini bukan sahaja tidak ikhlas, tetapi merupakan percubaan menggunakan masyarakat Cina bagi membenarkan kelakuan buruk, celupar dan kasar beliau.
Jurucakap MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker dalam kenyataan hari ini berkata, orang Cina Malaysia adalah masyarakat yang sopan dan menghormati, dan tidak boleh sama sekali menerima keceluparan dan sikap tidak hormat Nga terhadap orang yang lebih tua.
“DAP dan Nga hilang pedoman dan tidak menghormati orang tua dan pemimpin Melayu. Kenyataan terbukanya tidak sensitif dan berniat jahat terhadap orang Melayu,” kata Ti.
Ti berkata, bercakap tentang kematian seseorang adalah dilarang, apatah lagi jika orang tu dicadangkan oleh DAP untuk menjadi perdana menteri mereka sendiri jika terpilih.
“Bercakap tentang kematian seorang tua adalah satu sumpahan. Ia tidak boleh diterima sama sekali dan berlawanan dengan adat resam masyarakat Cina,” katanya.
Sebelum ini Nga dalam permohohan maafnya berhubung video tersebut mengakui bahasa Mandarin yang digunakannya dalam ceramah itu agak keras dan sinis, tetapi masyarakat orang Cina boleh menerima cara beliau berceramah.
Calon DAP di kerusi Parlimen Teluk Intan dalam pilihan raya umum pada 9 Mei depan itu juga berkata, Dr Mahathir adalah “kuda tunggangan” DAP bagi memenangi PRU kali ini.
“Pemimpin DAP dua beranak, Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng hendaklah mengarahkan beliau meminta maaf atau memberinya amaran atas kelakuan buruknya itu, bukannya mencadangkan beliau dilantik sebagai menteri sekiranya Pakatan Harapan menang”, kata Ti.
Ti berkata, keceluparan mulut, sikap kasar dan kelakuan buruk mungkin merupakan budaya dalam DAP dan penyokong parti itu boleh menerimanya, tetapi ia tidak harus melibatkan masyarakat Cina secara keseluruhan.
“Hubungan baik antara orang Melayu dan masyarakat Cina sudah tergugat dan tegang berikutan tindak-tanduk DAP, dan kita berharap hubungan baik serta perpaduan yang sedia terbina sejak kemerdekaan itu tidak terus dirosakkan,” tambahnya.