C4: Tarik sekatan ke atas peguam siasat skandal Scorpene

C4: Tarik sekatan ke atas peguam siasat skandal Scorpene

NGO anti-rasuah menggesa kerajaan membenarkan William Bourdon datang untuk memberi taklimat tentang perkembangan siasatan ke atas skandal pegawai kerajaan didakwa menerima sogokan.

Free Malaysia Today
(Gambar AFP)
KUALA LUMPUR:
Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme (C4) menggesa kerajaan Pakatan Harapan menarik sekatan melarang peguam warga Perancis, William Bourdon yang menyiasat skandal Scorpene, memasuki Malaysia.

Pengarah Eksekutif Cynthia Gabriel berkata Bourdon diusir dari Malaysia pada Julai 2011 oleh kerajaan dulu kerana memberi taklimat tentang perkembangan kes di mahkamah Perancis di satu majlis kutipan dana.

Bourdon seorang peguam Perancis yang mengepalai kes Scorpene di mahkamah Perancis. Dia dan pasukan peguamnya mempunyai pengkhususan dalam hak asasi manusia dan tanggungjawab sosial korporat dan memberikan nasihat dan perkhidmatan secara pro bono berhubung kes itu.

“Kes ini masih berjalan di mahkamah Perancis dan hanya masa menentukan bila prosiding itu akan diangkat ke mahkamah lebih tinggi di mana mereka yang terlibat akan didakwa.

“Melihat kepada komitmen kerajaan PH untuk membasmi rasuah, kami menggesa larangan ke atas William Bourdon ditarik dengan segera.”

Beliau berkata penarikan ini akan membolehkan peguam itu datang ke Malaysia dan menasihati kerajaan tentang perkembangan terbaru kes itu, langkah seterusnya, dan langkah yang perlu diambil bagi memastikan kes berjalan dengan lancar.

Ia juga akan membantu kerajaan mendapatkan gambaran penuh skandal itu.

“Ini penting bagi membongkar kebenaran sebalik skandal korupsi yang akan memudahkan usaha mengheret mereka yang bertanggungjawab ke mahkamah,” kata Gabriel.

Kes itu melibatkan dakwaan sogokan daripada penjualan 2 kapal selam Scorpene kepada Malaysia pada 2002 oleh gergasi elektronik pertahanan, Thales, dan pembuatan kapal, DCNS, dari Perancis.

Bekas pembantu Najib Razak, Abdul Razak Baginda, disiasat oleh mahkamah Perancis pada 18 Julai 2017 berhubung dengan skandal korupsi Scorpene.

Najib adalah menteri pertahanan semasa urus janji AS$1.1 bilion untuk 2 kapal selam Scorpene dimuktamadkan antara Perancis dan Malaysia.

Skandal itu tertumpu pada pembayaran komisyen sebanyak €114 million (RM570 million) dan sogokan daripada Thales dan DCNS kepada pegawai kerajaan Malaysia melalui syarikat Perimekar Sdn Bhd (Perimekar) yang dikawal Abdul Razak Baginda.

Lima individu, termasuk Abdul Razak, disiasat oleh mahkamah Perancis tentang pembabitan mereka dalam skandal itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.