Rasuah e-waste, KP JAS, timbalan akan didakwa esok

Rasuah e-waste, KP JAS, timbalan akan didakwa esok

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata pertuduhan dibuat selepas mendapat persetujuan pendakwa raya dan peguam negara.

E Waste
SPRM memperhebatkan siasatan berhubung kegiatan pengimportan sisa elektronik secara haram, susulan risikan yang mendedahkan antara 2,000 hingga 3,000 kontena e-waste telah diseludup masuk ke negara ini melalui pelabuhan utama. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Ketua pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan timbalannya dijangka didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur esok berhubung kes rasuah membabitkan sisa elektronik (e-waste).

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki berkata pendakwaan itu dibuat selepas mendapat persetujuan pihak pendakwa raya dan peguam negara.

“Jadi harap tidak ada pembatalan dan mereka akan dituduh di mahkamah esok sekiranya tiada sebarang kesulitan,” katanya selepas menghadiri sesi libat urus Pasukan Petugas Khas Agensi-Agensi Penguatkuasaan Malaysia (MATF).

Menurutnya, pelantikan ketua pengarah JAS yang baharu akan diputuskan oleh Ketua Setiausaha Negara, Shamsul Azri Abu Bakar, selepas pertuduhan dibuat.

“Pelantikan ketua pengarah baharu diserahkan kepada ketua setiausaha negara dan akan dibuat selepas kedua-dua mereka dituduh di mahkamah,” katanya.

Siasatan SPRM sebelum ini menjurus kepada dakwaan salah guna kuasa dan rasuah berkaitan pengurusan e-waste yang dipercayai berlaku dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.

SPRM memperhebatkan siasatan berhubung kegiatan pengimportan sisa elektronik secara haram, susulan risikan yang mendedahkan antara 2,000 hingga 3,000 kontena e-waste telah diseludup masuk ke negara ini melalui pelabuhan utama.

Malah, hasil risikan terbaharu dijalankan SPRM mendedahkan, warga asing disyaki menjadi dalang mengimport e-waste, plastik dan kertas secara haram untuk diproses bagi tujuan kitar semula.

Ia termasuk pihak berkuasa disyaki bersubahat, berkait kes pencemaran berterusan angkara e-waste dibawa masuk secara haram ke negara ini.

Dalam perlembagaan lain, Azam berkata masih ada 800 lebih kontena e-waste berada dalam negara masih terbengkalai dan tindakan melupuskannya sedang dijalankan.

“Ada dua kita buat iaitu pertama usaha hantar balik ke negara yang eksport dan kedua pelupusan ikut cara undang-undang yang kita akan jalankan,” katanya.

Larangan terhadap pengimportan buangan terjadual, khususnya sisa elektronik berkuat kuasa sejak semalam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.