
Antara perkara yang paling dibenci rakyat di zaman Barisan Nasional (BN) ialah arahan politik kepada institusi-institusi yang sepatutnya bebas menentukan sesuatu perkara.
Arahan politik ini susah dibuktikan. Ia adalah persepsi yang boleh dirasai rakyat. Dan ia sukar dinafikan ahli politik apabila rakyat berjaya merasai wujudnya arahan politik tertentu.
Arahan politik yang paling dirasai rakyat di zaman BN ialah skandal 1MDB. Daripada Pejabat Peguam Negara ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), semuanya senada tiada kes, meskipun di luar negara pelbagai maklumat mengenai kes 1MDB dibongkar secara besar-besaran.
Meskipun pimpinan BN menafikannya, rakyat telah memutuskan wujudnya arahan politik.
Begitu juga dengan keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) untuk mengharamkan PPBM, tetapi memberi kelonggaran kepada Umno untuk kekal sebagai parti yang sah meskipun kedua-duanya bermasalah menjelang pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
Walaupun JPPM menafikan adanya arahan politik, tetapi bagi rakyat, tindakan JPPM jelas menunjukkan ada campur tangan politik.
Bagaimana pula dengan 11 hari pertama di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH)? Apakah persepsi adanya arahan politik kepada institusi-institusi kerajaan sudahpun dihapuskan atau bertambah teruk?
Sebelas hari pertama PH menyaksikan Datuk Seri Anwar Ibrahim diberi pengampunan penuh diraja, saman Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) ke atas Rafizi Ramli ditarik balik secara tiba-tiba dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dilantik menjadi menteri kewangan, meskipun adanya kes rasuah di mahkamah yang belum diselesaikan.
Bukan itu sahaja, JPPM secara tiba-tiba pula meluluskan pendaftaran PH dan PPBM serta-merta, seolah-olah semua keperluan yang dahulunya tidak mencukupi, tiba-tiba menjadi cukup.
Apakah semua keputusan di atas adalah keputusan institusi-institusi secara bebas atau arahan politik masih dijadikan amalan? Apakah “Rule of Law” telah diaplikasi secara adilnya di dalam setiap situasi?
Semua ini menimbulkan satu persoalan penting: Apakah selama ini pihak berkuasa di negara ini bertindak atau tidak bertindak atas sesuatu kesalahan berdasarkan arahan orang politik yang memegang kuasa?
Jadi, di mana “Rule of Law” yang sebenarnya? Atau orang politik adalah “the rules” dan kata-katanya menjadi “the law”?
Diharap kerajaan PH akan mengambil iktibar daripada kesilapan kerajaan BN dalam memberikan arahan politik di belakang takbir.
Nasib Rafizi dan Lim di mahkamah selepas ini akan menjadi indikator yang baik apakah “Rule of Law” telah diaplikasikan secara adil dan sepenuhnya atau arahan politik menjadi satu isu lagi di dalam minda rakyat di zaman PH.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.