
Sumber itu mengesahkan pilihan calon bukan Melayu dan bukan Islam untuk mengetuai Jabatan Peguam Negara oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, tidak disenangi sesetengah pihak dalam Pakatan Harapan (PH).
Tetapi, katanya, tentangan terhadap Thomas disebabkan etnik dan agamanya hanyalah spekulasi dan merupakan taktik “melobi”.
Sumber itu yang enggan mendedahkan identitinya memberitahu FMT, ramai menyatakan Thomas ialah sebahagian daripada pasukan peguam Lim Guan Eng yang merupakan menteri kewangan baru.
Thomas dan Gobind Singh Deo mewakili Lim untuk mencabar prosiding komital yang dimulakan Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali, dalam kes dikaitkan dengan pertuduhan rasuah terhadap setiausaha agung DAP itu.
Beliau juga mewakili kerajaan Pulau Pinang yang dahulunya di bawah pimpinan Lim, apabila kerajaan negeri mengheret Suruhanjaya Pilihan Raya dan kerajaan persekutuan sebelum ini ke mahkamah bagi mengembalikan pilihan raya kerajaan tempatan.
“Beliau pernah mewakili Guan Eng. Ini merupakan konflik kepentingan langsung, jelas dan nyata,” kata sumber itu.
Lim sedang berdepan pertuduhan rasuah dan penyalahgunaan kuasa di Pulau Pinang berkaitan penukaran status tanah dan pembelian sebuah banglo di bawah harga pasaran. Kes itu ditangguhkan ke 30 Julai depan untuk pengurusan kes, bagi membolehkan peguam negara baru menyemak semula kes tersebut.
Kerajaan baru mengarahkan Apandi bercuti, selepas beliau enggan mengosongkan jawatannya walaupun berdepan tekanan kerajaan PH.
Desakan untuk mencari pengganti Apandi menyebabkan nama Thomas timbul, tetapi mendapat bantahan dalam kalangan pemimpin PH.
Sumber berkata, ramai pengamal undang-undang terkejut dengan pilihan itu.
“Kebanyakan mereka menggaru kepala. Beliau tidak pernah mengendalikan kes jenayah,” kata sumber itu yang mengakui pengetahuan Thomas dalam aspek Perlembagaan “sangat luas”.
Penguasaan lemah bahasa Melayu
Ramai ahli politik kanan PH berkata, penguasaan bahasa Melayu Thomas lemah dan boleh menyulitkan lagi hubungan rapuh kerajaan baru dengan sesetengah raja Melayu.
“Mereka kata beliau tidak boleh berbahasa Melayu. Ini menyukarkan beliau menjalankan tugas sebagai peguam negara, khasnya jika ia memerlukan komunikasi dengan pihak istana secara rasmi.”
Calon itu juga kurang pengetahuan dalam undang-undang syariah negara yang sama penting dengan undang-undang sivil.
“Teori tersebar luas yang pihak istana menolak pencalonan orang ini kerana beliau bukan Melayu atau bukan Islam, tidak benar sama sekali. Dakwaan itu mengandungi unsur melobi,” kata sumber itu yang rapat dengan kelompok pimpinan atasan sebuah parti komponen PH.
Pengkritik tidak mempunyai isu dengan peguam negara bukan Melayu, tetapi sumber itu mengingatkan kerajaan supaya “melangkah dengan berhati-hati dan bijaksana”.
“Bertindak terburu-buru dalam perubahan radikal” akan menakutkan sebahagian penting rakyat yang sudah biasa dengan kelaziman tidak bertulis.
“Mereka bertanya ‘Pernahkah negara mempunyai peguam negara bukan Melayu? Jika tidak, maka kelaziman itu ialah peguam negara mesti orang Melayu. Mengubahnya bermakna mengubah kelaziman atau dasar’.
“Mereka berhujah, sama juga dengan kelaziman perdana menteri ialah orang Melayu,” kata sumber itu.
Menakutkan orang Melayu
Dalam satu mesyuarat tertutup anggota kanan kepimpinan PH, ada yang menyuarakan kebimbangan terhadap kerajaan baru dilihat cuba menimbulkan kegelisahan dalam sebahagian penting rakyat dengan melanggar kelaziman untuk pelantikan peguam negara bukan Melayu.
“Orang Melayu mungkin melihat perkembangan ini sebagai cubaan merobohkan benteng. Mereka akan kata jika PH berjaya melantik peguam negara bukan Melayu, maka langkah seterusnya ialah perdana menteri bukan Melayu pula,” sumber itu memetik kenyataan seorang ahli politik parti pemerintah.
“Jika PH menakutkan orang Melayu dengan isu mudah seperti ini, mereka akan memecahbelahkan masyarakat dan kesannya ialah penolakan terhadap PH.”
Beliau mengingatkan kecenderungan yang semakin meningkat dalam kelompok pengamal undang-undang untuk melobi calon itu dengan memetik Perlembagaan Persekutuan dan menekankan peruntukan mengenai “kuasa terhad raja-raja Melayu”.
Sumber itu berkata, tindakan melobi hanya menggambarkan sikap tidak peduli pelobi terhadap hak raja untuk berunding dalam perkara melibatkan dasar negara, di bawah Perkara 38 Perlembagaan Persekutuan.