Tian Chua: Siasat kelemahan sebelum umum keputusan pemilihan PKR

Tian Chua: Siasat kelemahan sebelum umum keputusan pemilihan PKR

Naib presiden PKR menggesa inkuiri diadakan untuk menyiasat semua kelemahan dan kecacatan dalam pemilihan parti.

Tian Chua kesal dengan ‘kekecohan’ dalam pemilihan parti dan salah laku ‘individu tidak bertanggungjawab tertentu’ menjejaskan persepsi orang ramai terhadap PKR.
PETALING JAYA:
Naib Presiden PKR, Tian Chua menggesa Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) menangguhkan pengesahan semua keputusan pengundian sehingga siasatan ke atas kemungkinan kelemahan pemilihan parti selesai.

Beliau yang kesal dengan “kekecohan” dalam pemilihan PKR setakat ini berkata, salah laku “individu tidak bertanggungjawab tertentu” menjejaskan persepsi orang ramai terhadap parti itu.

“Kelalaian dan pengiraan salah perlu diperbetulkan secara teliti untuk mengatasi percanggahan kredibiliti dalam proses pemilihan parti,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tian Chua yang sebelum ini menggesa audit ke atas pemilihan parti di Melaka dan Negeri Sembilan dengan menyifatkan “keputusan itu boleh diragui”.

Hari ini, beliau berkata, “beberapa individu bercita-cita tinggi” mengejar kuasa dan jawatan tanpa mengambil kira akibatnya, termasuk sokongan orang ramai terhadap PKR.

“Sejak beberapa minggu lalu, kita nampak tindakan tidak terkawal seperti menggunakan individu bukan ahli untuk mengundi dan mencetuskan kekecohan di pusat mengundi, juga dakwaan tidak berasas dan serangan peribadi terhadap rakan seperjuangan lain.

“PKR mahu menjadi parti terbuka, progresif dan demokratik, tetapi ketidakmampuan pejabat sekretariat parti dan JPP mengendalikan proses pengundian dengan lancar dan profesional menyebabkan ahli parti dan orang ramai meragui integriti pemilihan.”

Tian Chua yang mengalu-alukan gesaan Presiden PKR, Datuk Seri untuk siasatan menyeluruh ke atas pemilihan parti, menggesa Jawatankuasa Disiplin dan JPP mengambil tindakan tegas terhadap individu yang “melampaui batas”.

“JPP tidak boleh ditakut-takutkan individu ini. Jika bukti salah laku ditemui, pencalonan mereka perlu dibatalkan sebagai amaran kepada yang lain.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.