Rafizi tewas dalam pusingan akhir pemilihan PKR Selangor

Rafizi tewas dalam pusingan akhir pemilihan PKR Selangor

Keputusan tidak rasmi memihak kepada Azmin dalam pemilihan di Bahagian Shah Alam, Hulu Langat, Ampang, Pandan dan Tanjong Karang hari ini.

Rafizi Ramli kalah dalam pemilihan yang diadakan di 5 bahagian Selangor hari ini. (Gambar Bernama)
SHAH ALAM:
Keputusan tidak rasmi pemilihan PKR di Selangor hari ini menunjukkan Rafizi Ramli kalah kepada Datuk Seri Azmin Ali dalam perebutan jawatan timbalan presiden dengan majoriti ahli di 5 bahagian di negeri itu mengundi menteri hal ehwal ekonomi itu untuk mempertahankan jawatannya.

Di Pandan, walaupun Rafizi mengalahkan 3 calon lain bagi jawatan ketua bahagian, tetapi majoriti ahli di bahagian itu memilih Azmin bagi jawatan nombor 2 PKR.

Rafizi dilapor mendapat 508 undi berbanding Azmin yang memperoleh 715 undi.

Rafizi dipetik Bernama menyalahkan kekalahannya kepada Azmin kerana pengundi dari bahagian Ampang yang merupakan penyokong Azmin dipindahkan ke bahagian Pandan.

Katanya, kekalahan itu tidak menggambarkan pengaruhnya di bahagian Pandan.

“Ya, ini kubu kuat saya. Tetapi saya tidak hairan kerana ia (pemindahan ahli) dibenarkan parti, saya akur dengan keputusan ini. Kira-kira 1,000 pengundi dari Ampang telah dipindahkan ke sini,” katanya dipetik Bernama selepas pengumuman keputusan tidak rasmi pemilihan PKR bahagian Pandan, petang tadi.

Bahagian Shah Alam, Hulu Langat, Ampang dan Tanjong Karang yang menjalankan pengundian hari ini turut menyokong Azmin berbanding Rafizi.

Pemilihan di Bahagian Kuala Selangor yang sepatutnya diadakan hari ini ditunda akibat masalah internet.

Keputusan tidak rasmi menyaksikan Azmin mendahului Rafizi yang mendapat separuh daripada keseluruhan undi diraih Azmin.

Terdahulu, berdasarkan keputusan tidak rasmi 15 bahagian di Kedah yang mengadakan pemilihan selama 2 hari sejak Jumaat lalu, Azmin dilaporkan menang dengan 3,754 undi berbanding Rafizi yang mendapat 3,111 undi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.