SPRM beri 2 minggu lagi kepada James Chai, tidak tolak guna Interpol

SPRM beri 2 minggu lagi kepada James Chai, tidak tolak guna Interpol

SPRM juga sedia menanggung kos tiket penerbangan bekas pembantu Rafizi Ramli itu untuk pulang ke Malaysia.

chai jin shern james chai
James Chai dikenal pasti sebagai individu penting dalam siasatan dakwaan salah laku berkaitan perjanjian kerajaan bernilai RM1.1 bilion dengan Arm Holdings yang ditandatangani pada Mac tahun lalu. (Gambar SPRM)
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberi tempoh dua minggu kepada bekas pembantu Rafizi Ramli James Chai untuk pulang dan membantu siasatan kes Arm Holdings, dengan tawaran menanggung kos penerbangan beliau ke Malaysia.

Agensi antirasuah itu dalam kenyataan berkata surat terbaharu telah dikeluarkan hari ini yang menetapkan beliau perlu hadir dalam tempoh ditetapkan, selepas gagal memenuhi dua lanjutan masa sebelum ini.

Menurut SPRM, sekiranya Chai atau nama penuhnya Chai Jin Shern tidak tampil, pihaknya akan mempertimbangkan mendapatkan kerjasama antarabangsa termasuk Interpol dan agensi penguatkuasaan luar negara bagi mengesan serta memastikan kehadiran beliau.

“Sekiranya Chai berpendirian beliau tidak melakukan sebarang kesalahan, tindakan sewajarnya adalah tampil memberi keterangan kepada SPRM.

“Bukannya terus mengemukakan penjelasan di ruang awam tanpa menghadirkan diri kepada pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan.

Siasatan itu berhubung dakwaan salah laku berkaitan perjanjian kerajaan bernilai RM1.1 bilion dengan Arm Holdings yang ditandatangani pada Mac tahun lalu.

Chai dikenal pasti sebagai individu penting dan notis mengesan telah dikeluarkan pada 4 Mac lalu. Beliau kini berada di United Kingdom.

Bagaimanapun, SPRM menerima surat daripada peguam beliau bertarikh 9 Mac memaklumkan James tidak dapat hadir memberi keterangan atas alasan kos penerbangan dan komitmen kerja.

Susulan itu, SPRM memberi lanjutan masa melalui surat bertarikh 13 Mac, menetapkan kehadiran pada 31 Mac, namun beliau sekali lagi gagal memberi maklum balas.

Dalam perkembangan sama, SPRM memaklumkan siasatan kes ARM sedang giat dijalankan dengan setakat ini 17 saksi telah dirakam percakapan.

Ia melibatkan pegawai Kementerian Ekonomi serta agensi berkaitan termasuk Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

SPRM turut memaklumkan pihaknya telah mengambil dokumen penting termasuk perjanjian dan dokumen sokongan bagi membantu siasatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.