Kit ujian kendiri RM19.90 masih mahal, kata Ahli Parlimen DAP

Kit ujian kendiri RM19.90 masih mahal, kata Ahli Parlimen DAP

Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii berkata kerajaan perlu memberi subsidi supaya golongan B40 dan M40 mampu membeli kit ujian itu.

Dr Kelvin Yii berkata, harga kit ujian kendiri mesti di bawah RM10 dan menjadikannya amalan biasa dalam ‘normal baharu’.
PETALING JAYA:
Harga siling RM19.90 yang ditetapkan kerajaan bagi kit ujian kendiri Covid-19 masih mahal, kata seorang Ahli Parlimen DAP.

Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii berkata, kit ujian kendiri penting bagi rakyat Malaysia untuk hidup dalam suasana “normal baharu” dan kerajaan sepatutnya memberikan subsidi bagi memastikan ia mampu dibeli golongan B40 dan M40.

“Ini bahagian penting dalam pendekatan FTTIS + V (cari, uji, kesan, kuarantin, sokong serta vaksinasi) yang sistematik dan komprehensif diperlukan untuk menangani pandemik.

“Ujian boleh dilakukan di ‘lokasi interaksi’ seperti kilang, pejabat atau majlis sosial untuk mencegah dan mengurangkan penularan.

“Saya menggesa kerajaan mengambil langkah tambahan bagi memberi subsidi buat kit ujian kendiri Covid-19 dengan menjadikannya mampu milik dan mudah diakses orang ramai supaya ia dapat diterima sebagai ‘normal baharu’,” katanya sambil menambah harganya perlu lebih rendah daripada RM10.

Terdahulu hari ini, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin serta Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Alexander Nanta Linggi berkata, kerajaan menetapkan RM16 sebagai harga siling borong dan RM19.90 sebagai harga siling runcit untuk alat ujian kendiri.

Harga siling itu akan berkuat kuasa mulai 5 Sept ini. Mereka berkata, kawalan harga itu bertujuan memastikan harga alat ujian kendiri berpatutan untuk perniagaan dan orang ramai.

Ketika ini, harga pasaran alat ujian kendiri antara RM28 dan RM41.

Yii berkata, mensubsidi harga alat ujian kendiri akan membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kerana mereka boleh memasukkan kit ujian itu dalam SOP tempat kerja mereka.

“PKS sedang bergelut akibat ekonomi perlahan. Kerajaan perlu mencari jalan meringankan beban mereka sambil menggalakkan ‘amalan selamat’, termasuk budaya kerap menjalani ujian bagi memastikan ekonomi terus rancak.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.