Harga minyak melonjak tak bermakna Petronas ‘mandi keuntungan’, kata CEO

Harga minyak melonjak tak bermakna Petronas ‘mandi keuntungan’, kata CEO

CEO Kumpulan Petronas Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz kata peningkatan kos turut berlaku merentasi keseluruhan rantaian nilai tenaga.

Tengku Muhammad Taufik Aziz
Presiden merangkap CEO Kumpulan Petronas Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz berkata operasi syarikat merangkumi bukan sahaja sektor huluan, malah pertengahan dan hiliran. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Lonjakan harga minyak global susulan konflik di Asia Barat tidak semestinya membawa kepada keuntungan luar biasa memandangkan peningkatan kos turut berlaku merentasi keseluruhan rantaian nilai tenaga, menurut Petronas.

Presiden merangkap CEO Kumpulan Petronas Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz berkata persepsi bahawa Petronas ‘bermandikan keuntungan’ apabila harga minyak mencecah sekitar USD120 setong adalah tidak tepat berikutan operasi syarikat merangkumi bukan sahaja sektor huluan, malah pertengahan dan hiliran.

“Pada mata kasar, mungkin terdapat keuntungan di sektor huluan, tetapi di bahagian pertengahan dan hiliran, kos input termasuk pembelian minyak mentah, penapisan dan pemprosesan turut meningkat dengan ketara apabila harga tenaga naik,” katanya ketika menjadi tetamu dalam program Bicara Naratif Khas: Mendepani Cabaran Krisis Tenaga Global di saluran TV1 RTM.

Beliau berkata peningkatan kos itu perlu diambil kira secara menyeluruh sekali gus mengimbangi impak kenaikan harga minyak terhadap prestasi kewangan kumpulan.

Pada masa sama, Tengku Taufik berkata Petronas terus menggalas tanggungjawab sebagai syarikat minyak nasional yang bukan sahaja berorientasikan keuntungan, tetapi turut memikul amanah bagi memastikan keselamatan tenaga negara.

“Bekalan tenaga yang stabil adalah asas kepada kegiatan ekonomi dan kehidupan harian. Ini adalah amanah yang perlu kami penuhi,” katanya.

Menjawab persoalan mengapa Petronas tidak menanggung jumlah subsidi yang lebih besar bagi pihak kerajaan, beliau berkata syarikat telah memberikan sumbangan besar kepada negara sejak penubuhannya pada 1974, dengan jumlah keseluruhan mencecah kira-kira RM1.6 trilion dalam bentuk dividen, cukai, bayaran petroleum dan hasil eksport.

“Dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini sahaja, Petronas menyumbang lebih 20% kepada hasil kerajaan selain menyalurkan hampir separuh daripada keuntungan selepas cukai sebagai dividen kepada kerajaan.

“Petronas tetap sebuah entiti komersial manakala mekanisme subsidi melibatkan pertimbangan lebih luas di peringkat kerajaan,” katanya.

Dalam pada itu, Tengku Taufik mengakui cabaran semasa turut melibatkan gangguan bekalan global, yang menyebabkan kos import, pemprosesan dan logistik meningkat.

“Ada keadaan di mana isu bukan sekadar harga, tetapi juga ketersediaan bekalan. Jika bekalan tidak sampai, kos menjadi lebih tinggi dan beban kepada kerajaan turut meningkat.

“Kita juga telah melaksanakan pelbagai langkah dalaman bagi meningkatkan kecekapan operasi, termasuk mengurangkan perbelanjaan tidak kritikal, perjalanan tidak perlu mungkin telah dibatalkan, mengoptimumkan penggunaan tenaga serta memanfaatkan analitik data dalam perancangan penyelenggaraan dan logistik,” katanya.

Beliau berkata langkah-langkah ini penting untuk memastikan syarikat kekal berdaya tahan dalam persekitaran kos tinggi di samping menjadi contoh kepada industri dalam pengurusan tenaga secara bertanggungjawab.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.