2 inisiatif KWSP ringan beban kewangan majikan

2 inisiatif KWSP ringan beban kewangan majikan

Inisiatif itu adalah pengecualian caj lewat bayar caruman dan Tawaran Insentif Pengurangan Caj Lewat Bayar (e-PaR).

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berkata, inisiatif berkenaan mampu membolehkan majikan melaksanakan tanggungjawab statutori terhadap pekerja.
PETALING JAYA:
Dua inisiatif baharu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dilancarkan bagi membolehkan majikan meringankan pengurusan aliran kewangan mereka ketika tempoh pandemik.

KWSP dalam kenyataan berkata, ia sekali gus membolehkan mereka melaksanakan tanggungjawab statutori terhadap pekerja.

Katanya, inisiatif berkenaan ialah pengecualian caj lewat bayar caruman dan Tawaran Insentif Pengurangan Caj Lewat Bayar (e-PaR).

Di bawah inisiatif pertama, majikan diberi kelonggaran untuk tempoh membayar caruman bulan semasa, manakala melalui e-PaR pula majikan berpeluang mendapatkan pengurangan dalam menyelesaikan baki caj lewat bayar yang tertunggak.

Dana persaraan itu menambah pengecualian caj lewat bayar caruman merujuk kepada caj yang dikenakan ke atas majikan yang gagal membayar caruman wajib KWSP pada atau sebelum 15 hari bulan setiap bulan.

“Walaupun tarikh akhir untuk membayar caruman tersebut tidak berubah, melalui inisiatif ini majikan boleh membayar caruman mereka sehingga akhir setiap bulan tanpa dikenakan caj lewat bayar,” jelasnya.

Pihak majikan tidak perlu membuat sebarang permohonan untuk inisiatif itu yang akan berkuat kuasa secara automatik bermula caruman Sept 2021 sehingga Dis 2021.

Bagi inisiatif e-PaR yang akan dibuka mulai 13 Sept hingga 31 Dis 2021, majikan ditawarkan pengurangan sehingga 70% caj lewat bayar yang tertunggak bagi caruman yang lewat dibayar untuk mana-mana tempoh sebelum Ogos 2021.

“Untuk layak mendapatkan pengurangan ini, majikan perlu memastikan caruman dan dividen yang tertunggak untuk pekerja mereka bagi tempoh sebelum Ogos 2021 telah diselesaikan sebelum 31 Dis 2021,” kata KWSP.

Tambahnya, pengurangan caj lewat bayar caruman ini bertujuan membantu majikan menguruskan aliran tunai mereka di samping menyediakan peluang dan insentif untuk mereka menyelesaikan sebarang baki pembayaran caruman yang tertunggak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.