
Peguam Hisyam Tek Poh Teik berkata, ahli perniagaan itu, Junaith Asharab Md Shariff menegaskan bahawa wang berjumlah RM13 juta yang dibayar kepada Yayasan Akalbudi milik Zahid pada 2016 adalah untuk tujuan pembinaan masjid dan sekolah tahfiz.
“Dua dakwaan rasuah berjumlah RM13 juta tidak boleh dikatakan sebagai dorongan kepada tertuduh (Zahid) dalam melantik syarikat Mastoro Kenny IT Consultant & Services untuk MYEG,” kata Hisyam.
“Junaith berkata adik tertuduh (Mohamad Nasaee) yang “berjanji” untuk memberikannya projek MyEG.
“Tidak ada sebarang bukti yang dikemukakan di hadapan mahkamah yang menunjukkan Nasaee memaklumkan kepada abangnya bahawa dia membuat “janji” seperti itu kepada Junaith.
“Beliau tidak boleh dipertanggungjawabkan untuk sesuatu dilakukan oleh adiknya di luar pengetahuannya.”
Zahid dibicarakan atas 47 pertuduhan penggubahan wang haram dan pecah amanah jenayah (CBT) membabitkan jutaan ringgit dana milik Yayasan Akalbudi dan menerima rasuah untuk pelbagai projek ketika menjadi menteri dalam negeri.
Sebanyak 12 daripada dakwaan itu membabitkan CBT, lapan kes rasuah manakala selebihnya adalah pengubahan wang haram.
Hisyam berkata, sebahagian daripada RM13 juta itu telah dibayar kepada seorang kontraktor untuk pembinaan masjid pada 2017.
“Peguam Muralidharan Balan Pillai dari Lewis & Co mengesahkan wang berjumlah RM5 juta telah dibayar kepada firma pembinaan, Noble Energy,” katanya.
Manakala itu seorang lagi peguam Hamidi Mohd Noh yang turut mewakili Zahid memberitahu mahkamah bahawa dakwaan rasuah itu adalah “samar” dan prejudis terhadap anak guamnya.
Katanya, proses pemberian projek kerajaan untuk bekalan cip pasport kepada Datasonic Technologies Sdn Bhd pada 2016 dilakukan mengikut prosedur yang ditetapkan kerajaan.
Hamidi berkata, dia akan mengemukakan hujah lanjutan mengenai peraturan Suruhanjaya Sekuriti untuk menyokong hujah pembelaan.
Pendengaran di hadapan hakim Collin Lawrence Sequerah akan bersambung pada 20 September ini.