
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Mohd Kamarudin Md Din berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 468 Kanun Keseksaan.
“Semua pihak yang terlibat akan dipanggil untuk memberi keterangan dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pihaknya akan memastikan siasatan dijalankan secara adil dan orang ramai diminta tidak membuat spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan.
Seksyen 468 Kanun Keseksaan adalah berkaitan pemalsuan dan memperuntukkan hukuman penjara tujuh tahun serta denda.
Pada Julai 2020, Mahkamah Tinggi memerintahkan Najib membayar kepada kerajaan, melalui LHDN, tambahan cukai dan penalti sebanyak RM1.69 bilion.
Ini disusuli notis bankrap yang difailkan LHDN terhadap bekas presiden Umno itu pada 4 Feb lalu kerana gagal membayar tunggakan cukai tambahan RM1.69 bilion dari 2011 hingga 2017.
Najib membuat laporan polis pada 8 Sept lalu, selepas menerima maklumat dan “bukti kukuh” bahawa pegawai yang terbabit dalam kes percukaiannya dan “ahli politik tertentu” melakukan perbuatan itu.
Kemudian, beliau menerusi catatan Facebook berkata, bukti berhubung LHDN sudah diserahkan kepada polis berhubung pegawai LHDN tertentu yang menyalahgunakan kuasa mereka dan menggunakan dokumen palsu dalam kes percukaian terhadapnya.
Ahli Parlimen Pekan itu turut mendakwa ada “pegawai tertinggi LHDN” yang mengarahkan penalti cukai dikenakan kepadanya atas arahan ahli politik tertentu.
Katanya, pegawai terbabit turut diarahkan tidak membenarkan kesnya dibawa kepada Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan untuk rayuan dan meneruskan tindakan dengan mengisytiharkan beliau bankrap tanpa memberi peluang kepadanya mempertikaikan penilaian itu.
Beliau berkata, seseorang memaklumkan kepada beliau bahawa isu itu disiasat tiga kali sejak 2018 dan tiada sebarang salah laku ditemui.