41 dipanggil berkait dakwaan Victor Chin, tiada pegawai SPRM

41 dipanggil berkait dakwaan Victor Chin, tiada pegawai SPRM

Polis berkata siasatan berkait jenayah ubahan wang haram dengan pelbagai cara antaranya membeli atau memiliki syarikat.

macc sprm
Ketua Pasukan Unit Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Bukit Aman, Fazlisyam Abd Majid berkata tiada pegawai SPRM yang dipanggil setakat ini.
PETALING JAYA:
Polis mengesahkan tiada pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dipanggil bagi membantu siasatan mengenai dakwaan sindiket pengambilalihan paksa syarikat menerusi pakatan.

Ketua Pasukan Unit Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Bukit Aman, Fazlisyam Abd Majid berkata setakat ini seramai 41 saksi dipanggil susulan dakwaan membabitkan ahli perniagaan Victor Chin

Fazlisyam berkata siasatan masih berjalan melibatkan beberapa individu yang disyaki melakukan jenayah pengubahan wang haram dengan pelbagai cara antaranya membeli atau memiliki syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia dan syarikat persendirian.

“Seramai 41 saksi telah dipanggil setakat ini. Tiada pegawai SPRM dalam kalangan saksi-saksi tersebut,” katanya yang dipetik Sinar Harian sebagai berkata.

Isnin lalu, Fazlisyam mengesahkan Chin antara 10 individu yang ditahan kerana disyaki terbabit dalam aktiviti pengubahan wang haram menerusi Op Viking dari 15 Okt 2025 hingga 13 Jan lalu.

Fazlisyam berkata, Chin ditahan pada Disember lalu sebelum dibebaskan dengan jaminan polis, namun mungkin dipanggil semula bagi membantu siasatan.

Menurutnya, menerusi operasi itu, polis membeku dan menyita pelbagai aset termasuk lapan hartanah, 32 kenderaan, 1,100 unit saham milik dua syarikat, akaun Sistem Depositori Pusat (CDS) bernilai RM323,588,293, akaun dagangan RM64,246,417 serta 404 akaun bank berjumlah RM85,624,528.

Kes disiasat mengikut Seksyen 27B dan Seksyen 29B Akta Pemberi Pinjam Wang 1951, Seksyen 176 Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 serta Seksyen 221 Akta Syarikat 2016.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.