Kami tak akan leka selepas menang di Melaka, kata Naib Presiden Umno

Kami tak akan leka selepas menang di Melaka, kata Naib Presiden Umno

Mohamed Khaled Nordin berkata Umno sebenarnya menjadi 'lebih berhati-hati' menilai 'mood' rakyat dan sentimen pengundi".

Menurut Mohamed Khaled Nordin, Umno sebenarnya menjadi ‘lebih berhati-hati’ dan akan menggunakan semua data yang ada untuk menilai ‘mood’ rakyat.
PETALING JAYA:
Naib Presiden Umno Mohamed Khaled Nordin berusaha meredakan kebimbangan seorang veteran parti bahawa kemenangan besar Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya negeri (PRN) Melaka akan menyebabkan parti itu leka.

Mengulas peringatan yang diberikan oleh Tengku Razaleigh Hamzah supaya parti itu jangan terlalu yakin, Khaled berkata, Umno sedar bahawa BN “mesti sentiasa bersedia” untuk menghadapi “banyak cabaran” di hadapan.

Beliau memberitahu FMT bahawa Umno sebenarnya menjadi “lebih berhati-hati” dan akan menggunakan semua data yang ada untuk menilai mood rakyat dan sentimen pengundi”.

Katanya, parti juga akan melihat dari segi masalah ekonomi dan sosial, menilai populariti kerajaan sekarang dan menangani beberapa isu lain termasuk yang timbul daripada pelaksanaan Undi18 dan pendaftaran pemilih secara automatik.

Khaled juga berkata, kemenangan di Melaka bagaimanapun telah meningkatkan semangat dalam BN dan Umno.

Baru-baru ini, Tengku Razaleigh yang juga bekas pengerusi Jemaah Penasihat Umno berkata, Umno tidak boleh “terpedaya” dengan keputusan pilihan raya itu kerana ramai pengundi tidak keluar membuang undi.

Sebanyak 326,068 undi dibuang atau 65.8% daripada pemilih berdaftar di negeri itu.

Katanya, mereka yang tidak mengundi mungkin mengambil pendekatan “tunggu dan lihat” sehingga pilihan raya umum (PRU) diadakan yang dijangka tahun depan.

Namun Khaled berkata, terdapat keperluan untuk memanfaatkan momentum yang menggembirakan itu.

“Ini boleh dilakukan dengan meneruskan agenda pembaharuan kita dan memperkukuhkan jentera parti. Kita juga perlu memastikan kerajaan sekarang mendengar apa yang dimahukan rakyat dan bertindak sewajarnya.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.